Kuching FA bincang potong gaji

PENGURUSAN skuad Kuching FA akan berbincang bersama pemain mengenai pemotongan gaji setelah mendapat maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia(MFL) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Professional Malaysia (PFAM).

Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman berkata pihaknya akan berpandukan nasihat dan panduan daripada MFL, FAM dan FIFA untuk penstrukturan semula gaji pemain.

Beliau juga dimaklumkan bahawa PFAM dan MFL sedang mengadakan perbincangan mengenai struktur pemotongan gaji pemain.

“Setelah mendapat pengesahan daripada badan induk persatuan baharu kita berbincang dengan pemain berkenaan pendekatan Kuching FA dan keputusan akan diambil jika semua pihak bersetuju.

“Saya juga yakin bahawa Kuching FA tidak akan menghadapi masalah dalam perbincangan ini kerana semua pihak memahami keadaan semasa yang kami hadapi sekarang ini,” katanya semasa dihubungi Suara Sarawak semalam.

Beliau menambah, pihaknya akan bertemu dengan pihak penaja dan menerangkan kepada mereka situasi terkini dan perancangan MFL dan FAM setelah mendapat maklumat terkini.

Skuad tersebut juga telah melakukan pendekatan dengan memotong gaji sebanyak lima peratus sebagai tabung bantuan Covid-19 untuk membantu keluarga yang terjejas akibat wabak itu.

Pemotongan gaji bulan April sebanyak lima peratus itu juga atas sukarela para pemain dan telah memaklumkan kepada pihak pengurusan pasukan.

Skuad yang pernah menduduki tempat kedua dalam liga M3 tahun lepas kini layak beraksi buat kali pertama di Liga Premier.