Kuching FA buru Mat Yo

PENYERANG Harimau Malaya yang juga bekas bintang utama Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo dijangka akan menerajui jentera serangan Kuching FA dalam saingan Liga Premier 2020.

Menurut sumber, pegawai pasukan Kuching FA telah pun mengadakan pertemuan dengan penyerang yang berasal dari Terengganu itu di Kuala Lumpur.

“Kebiasaannya, setiap pertemuan yang membabitkan pegawai atasan pasukan dengan pemain ternama… mesti ada sesuatu rundingan untuk dicapai,” kata sumber tersebut.

Bagi mengukuhkan lagi spekulasi tersebut ialah pasukan Pahang tidak lagi menyambung kontrak Mat Yo bersama-sama beberapa lagi pemain lain.

Selain itu, seorang lagi bekas pemain Pahang yang pemain sayap skuad kebangsaan Indoensia, Saddil Ramdani juga berada dalam senarai buruan Kuching FA.

Kuching FA dinaikkan ke Liga Premier 2020 setelah mengalahkan pasukan Sarawak 3-1 dalam perlawanan play-off November lalu.

Dalam sidang media selepas perlawanan, pengurus pasukan Kuching FA yang juga penaung kelab, Fazzrudin Abdul Rahman menjelaskan, mereka akan berusaha untuk mendapatkan pemain berkaliber bagi mengukuhkan pasukan.

Malah, ia disokong oleh tonggak utama Kuching FA, Joseph Kallang Tie yang berpendapat, mereka perlu mempunyai pemain baharu yang lebih hebat, kerana Liga Premier menjanjikan saingan yang lebih sukar dan sengit kerana membabitkan sebahagian besar pasukan hebat.

Kuching FA yang mula menyertai Piala FAM pada 2017 dan 2018 dibarisi seratus peratus pemain tempatan dan hanya segelintir bekas pemain Sarawak.

Namun pada 2019, Kuching FA berubah wajah, dengan penyertaan sebahagian besar pemain utama Sarawak 2018 seperti ketua pasukan, Hairol Mokhtar, Dzulazlan Ibrahim, Mazwandi Zekeria, Hafis Saperi, Mohd Iqbal, Ramesh Lai Ban Huat serta bebetrapa bekas pemain Sarawak seperti Sufizal Ismail, Sahran Samad, Ismail Bujang dan Rafiezan Razali.

Malah untuk menguatkan lagi pasukan, mereka menambat bekas pemain Malaysia, Selangor, Pahang, Sarawak dan Terengganu, Joseph kallang Tie dan pemain import dari Jepun, Yuta Suzuki yang beraksi dalam liga utama Vietnam.
Barisan pemain tersebut berjaya mengemudi Kuching FA menguasai carta Liga M3 selama tujuh bulan sebelum takhta mereka dirampas Kelantan United pada penghujung musim.

Bagaimanapun, untuk bersaing dalam Liga Premier 2020, Kuching FA perlu menambah kekuatan sedia ada dengan mendapatkan tiga atau empat pemain handalan dari Semenanjung atau import asing.