Kuching FA intai dua import

SKUAD Kuching FA masih memerlukan dua lagi pemain import asing.

Dua pemain import yang ada sekarang Yuta Suzuki dan Akira Higashiyama.

Ketua Jurulatih Kuching FA, Ideris Untong berkata, pasukannya mahukan pemain import yang boleh bermain di posisi sayap kiri dan kanan, pertahanan dan serangan.

Menurutnya, mereka masih mencari pemain import yang berkebolehan dalam posisi berkenaan.

“Kita sudah ada Yuta dan Akira tetapi masih memerlukan dua lagi pemain import asing yang boleh beraksi baik dalam pasukan.

“Mudah-mudahan kita akan mendapat pemain yang diinginkan melalui beberapa sesi pemilihan dua hari akan datang ini.

“Tambahan pula, tarikh permulaan musim Liga Premier semakin dekat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kuching FA akan mengharungi tiga perlawanan persahabatan pada pertengahan Febuari depan di
Semenanjung Malaysia.

Katanya, pemain akan menyertai aksi persahabatan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 16 Februari atau 17 Februari depan.

“Kuching FA akan menentang Selangor 2 FC, Kuala Lumpur FA dan UiTM FC.

“Dalam masa dua minggu ini, saya dimaklumkan oleh Cikgu Faizal prestasi pemain semakin meningkat selepas aksi persahabatan menentang JDT dua hari yang lepas terutamanya pemain tempatan,” katanya.

Jelasnya, pasukan JDT memuji pemain tempatan Kuching FA kerana beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan tersebut.

Tambah beliau, perlawanan persahabatan itu merupakan sesi percubaan untuk pemain import asing yang turut menurunkan tujuh pemain import dalam aksi tersebut.

“Setakat ini, terdapat seorang atau dua pemain import asing yang akan diserap ke dalam pasukan. Kuching FA akan memperkenalkan pemain skuad 2020 dan skuad Piala Presiden Jumaat ini.

Suara Sarawak