Kuching FA kejar tiga mata pertama

KETUA jurulatih Kuching FA, Ideris Untong memberi pesanan kepada anak-anak buahnya agar mengikis sikap terlalu yakin apabila turun menentang pasukan Ultimate FC di Stadium Pulapol 4.15 petang Sabtu.

Ia merupakan aksi sulung Kuching FA dalam saingan liga ‘kelas tiga’ yang dibarisi pasukan berstatus kelab.

Menurut Ideris, label sebagai pasukan pilihan seharusnya menghadirkan sikap berhati-hati dalam kalangan pemain, bukannya keyakinan keterlaluan.

“Saya beranggapan peluang kami untuk menang tetap 50-50.

“Kami langsung tidak mengetahui keupayaan pasukan lawan. Jadi kami perlu berwaspada,” katanya.

SANTAI… Pemain skuad Kuching FA ketika sesi latihan ringan. Mereka akan menentang pasukan Ultimate FC dalam aksi buka tirai di Stadium Pulapol petang Sabtu. Foto GHAZALI BUJANG

Bagi Ideris, saingan liga menjanjikan suasana perlawanan yang berlainan.

“Seboleh-bolehnya perlawanan pertama ini diakhiri dengan tiga mata (kemenangan).

“Ia penting untuk membakar semangat dan motivasi para pemain,” ujar Ideris.

Yang pasti, Kuching FA menaruh harapan tinggi terhadap tiga watak penting bagi memastikan tiga mata tidak terlepas dari genggaman.

Mereka adalah teraju di tiga posisi, Hairol Mokhtar (pertahanan), Yuta Suzuki (tengah) dan Joseph Kallang Tie (penyerang).

Secara keseluruhan, Ideris masih mempercayai barisan yang sama, sebagaimana ketika mengharungi kempen Piala FA sebelum ini.

Cuma calon penjaga gol yang berubah, ekoran penjaga gol utama, Awang Mohd Tarmizi masih demam. Mohd Iqbal atau Hafielzulhisyam Roslee bakal mengambil alih.

Di atas kertas, Kuching FA merupakan pasukan pilihan utama untuk menjuarai Liga M3 2019. Dua pasukan teratas akan layak ke Liga Premier 2020.

HARI INI
Ultimate FC Lwn Kuching FA
(Stadium Pulapol, 4.15 petang)

PASUKAN LIGA M3 2019

Kuching FA
Ultimate
Banggol Tok Ku
Batu Dua
DDM
Langkawi Glory
Johor Bahru
Kelantan United
Penjara
Protap
Puchong Fuerza
SAMB
Tun Razak

Suara Sarawak