Kuching FA peraga keserasian

SKUAD Kuching FA menunjukkan keserasian walaupun tewas 3-2 kepada skuad Liga Super, UiTM FC dalam aksi persahabatan pramusim di Semenanjung malam tadi.

Kuching FA mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Rafiezan Razali dan Joseph Kallang Tie.

Namun UiTM yang membariskan kesebelasan terbaik, bangkit hebat meledakkan tiga gol untuk menamatkan saingan dengan nota kemenangan.

Menurut penolong pengurus Kuching FA, Iswandi Ali Hassan, para pemain telah menunjukkan aksi yang dimahukan oleh jurulatih.

“Kami berpuas hati dengan prestasi para pemain. Cuma para pemain kelihatan agak kurang cergas pada babak kedua.

“Perlawanan tersebut lebih kepada pembentukan keserasian pemain… namun apa yang pasti, tiga pemain utama (Alves, Hudson dan Joseph) begitu serasi,” kata Iswandi.

Dalam aksi malam semalam, menyaksikan gandingan pemain dari Brazil, Leonardo Alves dan Hudson Dias di bahagian serangan.

Manakala Mohd Iqbal berada di benteng terakhir, sementara barisan pertahanan mempertaruhkan, pemain dari Jepun… yang bergandingan dengan Rafiezan Razali, Mazwandi Zekeria dan Remenor Pit.

Manakala bahagian tengah menampilan Joseph Kallang Tie, Yuta Suzuki, Tommy Mawat dan Razziman Razali.

Ia merupakan aksi persahabatan kompetitif kedua buat Kuching FA yang sebelum ini tewas 4-0 kepada skuad Liga Super JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Larkin Januari lalu.

Mereka akan menentang satu lagi kelab Liga Super, PDRM malam ini.

KUCHING FA… Inilah barisan utama Kuching FA ketika aksi menentang UiTM FC malam tadi. Kuching kalah 3-2.

Suara Sarawak