Kuching FA raih pengalaman berharga

SEPERTI yang dijangka, Kuching FA kalah 1-0 kepada juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi kalah mati kempen Piala Malaysia 2020 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Jumaat lalu.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh Arif Aiman Mohd Hanapi minit ke-19.

“Kami terima kekalahan ini dengan hati terbuka, para pemain telah berusaha keras memberikan hebat,” kata penolong jurulatih Kuching FA, Sharizan Sahari yang dihubungi Suara Sarawak semalam.

“Para pemain telah memberikan komitmen sepenuhnya.

“Yang pasti, mereka telah meraih pengamalan yang cukup berharga dalam perlawanan ini,” ujar Sharizan.

Menurutnya, Kuching FA menentang pasukan terbaik di Malaysia, malah antara yang terbaik di Asia Tenggara.

“Jadi perlawanan tersebut pastinya memberikan sesuatu yang amat berguna kepada para pemain kita,” ujarnya.

Dalam perlawanan tersebut menyaksikan, JDT menguasai saingan pada babak pertama dan mencipta beberapa peluang, namun hanya memanfaatkan satu peluang.

Kuching FA pula agak bergelut, namun berupaya mencipta satu peluang terbaik di dalam petak penalti, namun rembatan Yuki Tanigawa sedikit tersasar.

Babak kedua pula, aksi Kuching FA lebih kemas, dan mencipta satu lagi peluang, melalui rembatan jarak jauh Joseph Kallang Tie, namun tepat menuju ke arah penjaga gol JDT.

JDT turun dengan kesebelasan terbaik, termasuk tiga watak penting, Aidil Zafuan, Diogo Luis Santo dan Haris Harun.

Kuching FA pula dibarisi Mohd. Iqbal, Hairol Mokhtar, Yuki Tanigawa, Mazwandi Zakeria, Dzulazlan Ibrahim, Rames Laiban Huat, Yuta Suzuki, Jimmy Raymond, Joseph Kallang Tie, Bryan Jones Anicezio dan Hudson Dias.

Suara Sarawak