
KUCHING: Gagal mengekalkan fokus sehingga ke minit akhir menghukum Kuching City FC (KC FC) sehingga menyebabkan Terengganu FC menang selesa (4-1) pada perlawanan suku akhir di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.
Ia sekali gus menyebabkan skuad The City Boys gagal menempah tiket untuk mara ke separuh akhir Piala FA biarpun berjaya menampilkan saingan sengit pada babak pertama perlawanan dengan keputusan seri (1-1).
Ketua Jurulatih KC FC, Irfan Bakti berkata, anak-anak buahnya seakan-akan hilang tumpuan pada babak kedua perlawanan dan menegaskan dua jaringan susulan daripada kapten pasukan tuan rumah adalah berpunca akibat ketidakfahaman pemain di bahagian pertahanan.
“Jaringan itu (gol Kipre Tchetche) tidak sepatutnya berlaku dengan mudah jika pemain tidak hilang rentak permainan seperti mana mereka beraksi pada aksi pada babak pertama.
“Selain itu kita turut banyak melakukan kesilapan yang mana pemain dilihat hanya membiarkan sahaja pihak lawan masuk tanpa ada yang membuat tekanan sehingga menyebabkan pihak lawan berjaya menekan bahagian pertahanan kita,” katanya.
Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan pemain-pemain kerana berjaya membuktikan pasukan mampu memberi saingan yang baik biarpun berhadapan dengan pasukan handalan seperti Terengganu FC.
Irfan justeru mengakui pasukannya tidak begitu baik dalam perlawanan tersebut dan akur dengan kualiti Terengganu FC yang dibarisi dengan beberapa pemain kebangsaan dan import berpengalaman.
“Kita berjaya memberi saingan pada babak minit pertama namun sayangnya aksi itu tidak terus sehingga wisel penamat sehingga menyebabkan kita dihukum,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yakin anak-anak buahnya dengan berjanji akan bangkit pada perlawanan seterusnya dan percaya KC FC mampu memberikan saingan yang lebih konsisten pada masa akan datang.