Pembantu pergigian maut dalam nahas jalan raya

Kuching perlukan satu lagi Anjung Kasih – Nancy Shukri

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Nancy menyantuni penghuni di Pusat Anjung Kasih, di Hospital Umum Sarawak,  hari ini. (Ramidi Subari)

KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) memerlukan satu lagi rumah penginapan sementara, Anjung Kasih bagi memudahkan ahli keluarga mengiringi pesakit yang sedang mendapat rawatan di hospital kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebelum ini pusat ini adalah kuarters kakitangan hospital dan bertukar menjadi pusat Anjung Kasih pada 2013.

Walaupun pusat ini dalam keadaan bersih dan terjaga, beliau berkata bahawa terdapat keperluan untuk menambah satu lagi Pusat Anjung Kasih yang memiliki fasiliti yang moden.

Nancy menyantuni penghuni di Pusat Anjung Kasih, di Hospital Umum Sarawak,  hari ini. (Ramidi Subari)

“Tempat yang baharu ini nanti perlu berdekatan dengan HUS kerana di sini, ia (pusat) menempatkan penjaga serta pesakit itu sendiri seperti pesakit kanser yang memerlukan rawatan lanjut.

“Sebab itu di Kuching ini, kita perlukan lebih dari satu Anjung Kasih supaya pesakit dan penjaga nanti selesa di tempat yang baru dengan fasiliti yang canggih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Anjung Kasih di Hospital Umum Sarawak, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak hospital untuk memberi cadangan berkenaan tempat yang bersesuaian di sini bagi membolehkan pihaknya mencuba untuk mendapatkan peruntukan.

“Ia perlu disegerakan kerana saya dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa pusat ini hanya mampu memuatkan 80 hingga 90 orang dalam satu masa.

“Ia juga akan membantu dalam mewujudkan sokongan keluarga kepada pesakit kerana dapat berada berhampiran dengan pesakit,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Santubong itu turut menyeru orang ramai untuk tampil memberi sumbangan agar dapat memperluaskan lagi penubuhan Anjung Kasih di hospital-hospital.

“Saya menyeru pihak syarikat korporat yang ingin bersama-sama memberi kerjasama melalui sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Sumbangan boleh disalurkan menerusi Yayasan Kebajikan Negara dan akan disalurkan ke Pusat Anjung Kasih di Sarawak,” jelasnya.

Anjung Kasih dikhususkan untuk golongan yang memerlukan iaitu ahli keluarga yang kurang berkemampuan, tetapi perlu mengiringi pesakit yang sedang mendapat rawatan di hospital kerajaan.

Di Sarawak, Yayasan Kebajikan Negara telah mewujudkan tiga buah Anjung Kasih iaitu di Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Umum Kuching Sarawak.

Sepanjang beroperasi, statistik penggunaan Anjung Kasih oleh keluarga pesakit adalah tertinggi iaitu di Hospital Sibu 19,949 orang, Hospital Miri 15,898 orang dan di Kuching 9,728 orang.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 Mac 2023

Berita Terbaru