ARTIKEL

Kuching selamat, cantik, pintar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANDAR raya yang cantik, bersih, tersusun, moden dan lengkap dengan segala kemudahan dan kelengkapan sentiasa menarik untuk dikunjungi.

Bergantung pada sumber, senarai bandar raya yang cantik berbeza-beza walaupun ada sumber yang menyenaraikan bandar raya yang sama sebagai bandar tercantik di dunia.

Kuching dinobatkan sebagai antara bandar raya tercantik di dunia baru-baru ini.

Sesungguhnya, menjadi tanggungjawab semua warga, kita semua, untuk memelihara dan menjaga reputasi dan kedudukan Kuching supaya terus berada di papan atas dari segi keindahan dan kecantikan.

Pelbagai sumber menyatakan antara bandar raya tercantik dunia ialah Paris, Cape Town, Prague, Venice, Barcelona, Amsterdam Istanbul, Rome dan Kyoto. Ada juga yang memasukkan Sydney, Mexico City, New York, Rio de Janeiro, London, Seville dan Singapura.

Lima daripada bandar raya berkenaan pernah saya kunjungi.

Apakah yang menyebabkan sesebuah bandar atau bandar raya itu dianggap sebagai cantik?

Sebuah bandar raya dianggap cantik dan menarik bukan hanya kerana keindahan fizikalnya tetapi juga kerana ciri-ciri yang memukau dan memikat.

Keindahan bandar raya mungkin terletak pada seni bina unik bangunan bersejarah, landskap yang menakjubkan seperti taman-taman yang hijau dan tasik-tasik yang tenang, serta seni jalanan yang menghidupkan kawasan bandar.

Keseimbangan antara kemodenan dan kelestarian alam juga memberikan pesona tersendiri kepada bandar raya tersebut.

Bandar raya yang hebat dan cantik ialah pusat kegiatan pentadbiran, perniagaan dan budaya yang dinamik dan menarik dengan landskap yang menakjubkan dan infrastruktur lengkap serta moden.

Ia mempunyai kepelbagaian budaya dan seni yang kaya serta makanan yang lazat daripada pelbagai tradisi.

Kebersihan bandar raya itu dikekalkan dengan teliti dan terdapat tamantaman hijau yang menyegarkan.

Kesenangan dan hiburan tersedia di mana-mana, dari taman tema hingga galeri seni.

Pengangkutan awam yang cekap dan mesra alam memudahkan penduduk dan pelancong untuk bergerak.

Kehadiran ART tidak berapa lama lagi tentu meletakkan Kuching dalam kelas yang tersendiri di negara ini.

Selain itu, bandar raya menghargai sejarahnya dengan pemuliharaan bangunan bersejarah sambil menjunjung inovasi dan pembangunan yang mampan.

Perancangan bandar raya yang tersusun dengan baik juga menjadi faktor penting dalam menambah kecantikan sebuah bandar raya dengan memudahkan pergerakan penduduk dan pelancong.

Sambutan mesra penduduk tempatan serta kepelbagaian etnik dan kebudayaan turut menyumbang kepada daya tarikan bandar raya tersebut.

Kesemuanya menyumbang kepada citra bandar raya sebagai tempat yang cantik dan menarik untuk dikunjungi.

Lebih daripada 25 tahun lalu, saya menyertai satu peraduan menulis esei.

Esei berkenaan bertajuk Bandar Raya Kuching yang saya idami memenangi antara hadiah utama. Melalui esei itu, saya mengemukakan pandangan saya tentang sebuah bandar yang saya impikan.

Kuching, ibu negeri Sarawak, tidak syak lagi adalah antara bandar raya tercantik di negara ini, malah di dunia.

Mulai 1841, Kuching menjadi pusat pentadbiran utama Sarawak setelah diserahkan kepada James Brooke bagi membantu Kerajaan Brunei menamatkan pemberontakan.

Margaret Brooke, isteri Charles Brooke dalam memoirnya pada 1913, My Life in Sarawak terbitan Methuen & Company Limited di London melakarkan seperti berikut pengamatannya tentang bandar Kuching.

“Kota kecil ini kelihatan begitu rapi, segar dan makmur di bawah penjagaan daripada Rajah dan petugas sehingga perkara ini mengingatkan saya akan sebuah kotak mainan yang tetap dijaga dengan teliti dan bersih oleh seorang kanak-kanak.

Bazar kota ini berada di sepanjang tebing sungai sehingga pada jarak tertentu dan hampir semuanya dikendalikan oleh pedagang Cina, dengan pengecualian satu atau dua kedai India…

Pelbagai barangan eksotik yang diletakkan di meja berhampiran kaki lima, di mana pembeli dapat membuat pilihan mereka.

Di kedai-kedai India anda dapat membeli sutera dari India, sarung dari Jawa, teh dari China, jubin dan porselin dari seluruh belahan dunia, tercantum dalam kekeliruan yang indah, dan meluap ke jalan.”

Keunikan dan keindahan bandar raya dengan sekitar 800,000 jiwa itu ketika ini tidak hanya terletak pada kepelbagaian budayanya, tetapi juga pada keindahan alam semula jadi, reka bentuk, sejarah, dan jalinan warisan budaya yang masih terpelihara dengan baik.

Kuching terletak di tebing Sungai Sarawak yang mengalir tenang melewati bandar ini, mencipta landskap yang menawan.

Pemandangan di tepi sungai menampilkan seni bina tradisional dan moden, menambahkan daya tarikan visual yang unik kepada bandar ini.

Jambatan gantung yang megah melintasi sungai memberikan pemandangan yang menakjubkan, terutamanya waktu senja ketika langit berubah warna.

Satu lagi ciri yang memukau di Kuching ialah warisan budayanya yang kaya.

Bandar ini mempunyai pelbagai etnik dan kepercayaan, termasuk Melayu, Melanau, Cina, dan Dayak, yang semua memberi sumbangan kepada kebudayaan yang berwarna-warni.

Sebagai sebuah bandar raya yang terkenal dengan hospitalitinya, Kuching mempunyai suasana yang damai dan mesra.

Penduduk tempatan sering dipuji kerana kebaikan dan keramahannya terhadap pelancong, menjadikan pengalaman melancong di sini lebih memuaskan.

Makanan yang lazat dan pelbagai juga merupakan aspek penting daripada pengalaman pelancong di Kuching.

Makanan khas Sarawak seperti laksa Sarawak, mi kolok dan ayam pansuh ialah hidangan yang wajib dicuba bagi sesiapa yang melawat bandar ini. 

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berazam menjadikan Kuching muncul sebagai bandar raya tercantik, mampan, selamat dan pintar. Kuching menawarkan pelbagai destinasi pelancongan menarik.

Taman-taman bandar seperti Muzium Budaya Borneo, Tebingan Kuching, Masjid India Bandar Kuching, tebingan sungai dari Sungai Bedil ke Kampung Tanjung, Jambatan Darul Hana, dan Taman Budaya pasti menarik untuk dikunjungi.

Sektor pelancongan yang berkembang pesat di Kuching juga menawarkan pelbagai kemudahan penginapan yang berkualiti, dari hotel mewah hingga penginapan bajet, memenuhi pelbagai keperluan pelancong.

Pusat beli-belah moden seperti The Spring Mall, Aeon dan VivaCity Megamall juga menambah kemudahan untuk pelancong yang ingin membeli-belah.

Namun, kehidupan dan kegiatan malam di Kuching masih perlu dicergaskan kerana berbanding bandar raya lain dunia, Kuching bagai tidak begitu bermaya pada waktu malam.

Namun pelbagai restoran, kafe, dan pub menawarkan hiburan langsung dan makanan yang lazat untuk dinikmati.

Dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, warisan budaya yang kaya, makanan yang lazat, dan suasana yang mesra, Kuching ialah sebuah bandar raya yang benar-benar cantik dan menarik untuk dilawati.

Ia menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada sesiapa yang mencari pencerahan budaya dan ketenangan dalam suasana yang indah.

Justeru, kita perlu terus belajar daripada ibu kota dan bandar raya maju, moden, bersih dan cantik di dunia, sementara para warga perlu memainkan peranan masingmasing untuk memeliharanya dari segi keindahan, kecantikan, keselamatan, dan hospitaliti kepada pelancong dan pengunjung terutama dari luar, termasuk pelancong asing.

Pengunjung biasanya tidak hanya terpikat kepada makanan, pusat beli-belah, budaya dan kemudahan, tetapi juga sifat mesra penduduknya.

Jadi, amalkan dan tunjukkanlah sikap yang terbaik kepada pelancong dan pengunjung dalam usaha menjadikan Kuching dan Sarawak pada amnya sebagai destinasi pilihan.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara. 

BERITA LAIN

Mencapai Arafah

SEKITAR 1.5 juta umat Islam berkumpul di Makkah tahun ini mengerjakan ibadah haji. Daripada jumlah tersebut, turut serta 31,600 jemaah haji Malaysia, selain penyertaan terbesar

Tulisan beracun

MATA pena lebih tajam daripada mata pisau. Sama seperti pisau yang dapat digunakan untuk mengukir, alat yang sama juga dapat digunakan untuk membunuh. Pisau dapat

Skuad termahal buru juara

JIKA bercakap mengenai bola sepak, sudah pasti kebanyakan peminat menggemari kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris. Ini kerana kebanyakan kelab seperti Arsenal, Manchester United,

Sayangi anak istimewa

HIDUP impikan kesempurnaan. Dahulu impian saya nombor satu memiliki anak-anak yang sihat, sempurna fizikal, beradab dan pandai sekolah dan panjang umur. Saya tidak impikan benda

Harapan selepas SPM

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia adalah peperiksaan penting, sebagai detik permulaan anak-anak muda

BERITA TERBARU