Kuching tuan rumah golf MAO

KUCHING sekali lagi bakal menjadi tumpuan peminat golf di seluruh negara mahupun dunia apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia (MAO) pada 20 hingga 23 Jun di Kelab Golf Sarawak (KGS).

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beberapa buah negara sudah mengesahkan penyertaan.

“Setakat ini, sebanyak 60 peserta dari 16 buah negara sudah mengesahkan penyertaan.

“Kami menjangka penyertaan akan meningkat kepada lebih 200 penyertaan,” katanya.

“Terdapat beberapa buah negara yang telah mengesahkan penyertaan, tetapi belum menghantar senarai pemain,” jelas Abdul Karim ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Mulu, Bangunan Baiturmakmur Kuching, semalam.

Menurut Karim, MAO merupakan antara kejohanan golf tertua di rantau Asia mahupun dunia.

“MAO merupakan kejohanan kedua tertua di dunia dan tertua ialah Kejohanan Golf Amerika Syarikat.

“Penganjuran kali ini merupakan edisi ke-117 dan penganjuran yang kedua bagi Sarawak.

Kali pertama kita menjadi tuan rumah ialah pada 2015,” katanya.

Sementara itu, pelbagai program lain turut diadakan sepanjang empat hari kejohanan yang melibatkan kategori lelaki dan wanita itu.