ARTIKEL

Hong Seng (tengah) bercakap pada sidang media sempena penyerahan replika cek tajaan bagi 'Kuching’s Got Talent' daripada STM Lottery Sdn Bhd kepada MBKS di sini, hari ini.

‘Kuching’s Got Talent 2024’ dapat tajaan RM40,000, uji bakat pada 6-7 Julai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Acara ‘Kuching’s Got Talent 2024’ yang berlangsung bulan hadapan bakal menyaksikan tiga kategori utama dipertandingkan untuk mencungkil bakat-bakat terpendam di Sarawak.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata antara kategori tersebut termasuk tarian, nyanyian serta bakat lain yang boleh diketengahkan.

Katanya, acara yang diadakan sempena Festival Kuching tahun ini juga dijangka menarik lebih ramai peserta dengan bakat berbeza.

Frace Yip (dua kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM40,000 kepada Hong Seng (dua kanan), disaksikan tetamu kehormat lain.

“Uji bakat untuk acara tersebut juga dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Julai ini, di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dari jam 1 hingga 6 petang.

“Pusingan separuh akhir dan pusingan akhir masing-masing akan diadakan pada 10 serta 11 Ogos akan datang di pentas terapung Teater MBKS di Taman Kuching, bermula pada 7 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penyerahan replika cek tajaan ‘Kuching’s Got Talent’ daripada STM Lottery Sdn Bhd kepada MBKS di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hong Seng berterima kasih atas sokongan STM Lottery Sdn Bhd selaku penaja utama sejak 36 tahun yang lalu.

“Justeru, bagi acara yang akan berlangsung tahun ini, mereka juga berbesar hati memberi sumbangan sebanyak RM40,000,” ujarnya.

Penyerahan replika cek dengan jumlah itu juga disempurnakan oleh Pengurus Jabatan Komunikasi dan Kelestarian STM Lotery Sdn Bhd, Yip Bing Tsong, yang menyerahkannya kepada Hong Seng.

Hadir sama, Penolong Pengurus STM Lottery Sdn Bhd (Sarawak), Henry Liew, Eksekutif Jualan Kanan Kawasan STM Lottery Sdn Bhd (Cawangan Kuching), Helen Tan, Eksekutif Jualan Kawasan (Cawangan Kuching – B) Florence Loo Yi Yuh, Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Kuching, Mok Chuang Ping, serta wakil lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU