KEBANJIRAN pemain terkenal menyertai kelab di Arab Saudi menjadi fenomena baharu bola sepak dunia. Kegilaan kelab dari Arab Saudi mendapatkan pemain sensasi bermula dengan kehadiran Cristiano Ronaldo yang menyertai Al Nass.
Ronaldo yang menandatangani kontrak dua tahun setengah muncul sebagai atlet termahal di dunia setakat ini.
Bintang Portugal itu dikatakan menerima 173 juta pound bersamaan RM761.3 juta.
Bukan hanya Ronaldo, ketika ini Liga Pro Saudi menyaksikan kehadiran beberapa pemain ternama Eropah lain seperti Karim Benzema dan N’Golo Kante.
Malah Hakim Ziyech, Wilfried Zaha, Sergio Ramos, Marco Veratti dan Roberto Firmino turut mendapat tawaran mega untuk meninggalkan Eropah.
Kelab Saudi, Al Hilal juga semakin hampir mendatangani kapten Wolves Ruben Navas dengan harga 47 juta pound (RM278 juta) dan menjadi perpindahan terbesar.
Beberapa kelab bola sepak Eropah menuntut siasatan dilakukan ke atas Arab Saudi yang berminat mendapatkan pemain Chelsea dan Wolves.
Kelab Eropah mula mempersoalkan usaha mendapatkan pemain-pemain itu ketika Chelsea dan Wolves sedang cuba memastikan mereka tidak melanggar peraturan Fair Play Kewangan (FFP).
Chelsea perlu segera mengurangkan perbelanjaan skuad mereka bagi menepati peraturan FFP selepas berbelanja 600 juta pound (RM3.55 bilion) dalam dua jendela perpindahan lalu.
Wolves juga akan dapat memenuhi tuntutan FFP jika melepaskan Neves.
Kita lihat bagaimana kelab menggunakan Saudi pada musim panas ini di seluruh Eropah bagi memenuhi tuntutan FFP.
Ia menimbulkan persoalan apabila PIF (Saudi Public Investment Fund) mempunyai kepentingan dalam kedua-dua kelab yang menjual dan membeli pemain.
PIF mempunyai banyak pelaburan di seluruh dunia dan mereka perlu membuktikan tidak membabitkan konflik kepentingan dengan pembelian pemain sudah berusia.
Perbelanjaan besar itu diterajui oleh PIF yang memiliki 80 peratus saham kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle.
Yasir Al-Rumayyan adalah gabenor PIF dan juga pengerusi Newcastle. PIF juga adalah pelabur utama dalam pemegang saham terbesar Chelsea, Clearlake Capital.
Pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly dilaporkan bertemu presiden Al-Hilal, Fahd Nafel di Arab Saudi pada awal bulan ini.
Turut bersama dalam pertemuan itu adalah jutawan Saudi, Putera Al-Waleed Talal, penyokong Al-Hilal yang menjual sahamnya dalam firma pelaburan kepada PIF tahun lalu.
Strategi perpindahan tersebut turut menimbulkan rasa kurang senang Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.
Ceferin memberi amaran kepada Arab Saudi susulan perpindahan bintang Eropah ke Timur Tengah.
Sepatutnya Arab Saudi melabur untuk akademi, membawa masuk jurulatih dan membangunkan pemain mereka sendiri.
China sebelum ini begitu galak membawa masuk pemain ternama yang sudah berada di penghujung karier untuk mempromosi liga mereka.
Sistem membeli pemain yang berada di akhir karier bukan sistem yang boleh membangunkan bola sepak.
Kesilapan sama dilakukan China apabila membawa masuk pemain yang sudah menghampiri persaraan.
Bola sepak Eropah sebenarnya masih menjadi tarikan utama tetapi pemergian nama besar seperti Ronaldo dan Benzema ke Arab Saudi untuk mendapatkan bayaran lumayan di akhir karier mereka.
Peminat Manchester City pula berang selepas Bernardo Silva menjadi pemain terbaru dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi.
Pemenang tiga kejuaraan bersama Manchester City itu dilapor ditawarkan kontrak lumayan untuk beraksi dalam Liga Pro Saudi.
Silva, 28, diramal meninggalkan Etihad pada musim panas ini dan menurut The Athletic, ejennya Jorge Mendes sudah berunding mengenai kemungkinan berpindah.
Ketika berita mengenai Silva mungkin tergoda untuk berpindah menyebabkan peminat marah dengan ramai mendakwa ia merosakkan bola sepak.
Legenda Manchester United, Rio Ferdinand pula berpendapat semua pihak digesa menerima secara terbuka keputusan diambil pemain berstatus bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi.
Sebelum ini Kerajaan Arab Saudi berhasrat menawarkan beberapa kelab sukan untuk penswastaan bermula pada suku keempat.
Perkembangan itu sekali gus memberi nafas baharu kepada pelan yang membentuk sebahagian agenda ekonomi untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak.
Pelan itu yang dilancarkan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman akan meluluskan pelaburan oleh syarikat utama dan agensi pembangunan dalam kelab sukan sebagai pertukaran untuk pemindahan pemilikan.
Cadangan itu menawarkan beberapa kelab sukan untuk penswastaan, bermula dari suku terakhir 2023.
Projek itu memberi tumpuan utama kepada bola sepak, sukan kebangsaan negara tersebut.
Kerajaan meluluskan rancangan untuk menukar kelab sukan milik kerajaan kepada syarikat swasta pada akhir 2016.
Liga domestik juga telah menarik beberapa pemain yang paling popular dalam sukan ini apabila penghujung tahun lalu, Ronaldo menyertai Al Nassr.
Berdasarkan faktar Liga Pro Saudi merupakan divisyen teratas liga bola sepak di Arab Saudi.
Bermula dari tahun 2013 hingga 2019, ia dikenali sebagai Liga Abdul Latif Jameel atau Dawry Jameel kerana ditaja oleh Abdul Latif Jameel.
Musim pertama liga tersebut sebenarnya bermula pada tahun 1976 dengan dimenangi oleh Al-Hilal.
Malah Al-Hilal merupakan pasukan paling berjaya dengan 18 gelaran juara.