Kuih bakul selera Melayu

SELAIN limau Mandarin dan Yee Sang, kuih bakul juga menjadi antara menu wajib ketika perayaan Tahun Baharu Cina.

Tidak lengkap rasanya jika hidangan tradisi masyarakat Tionghua itu tidak disajikan terutama pada hari pertama perayaan.

Lazimnya, kuih ini dihasilkan oleh masyarakat Cina, namun tidak menjadi halangan bagi Noor Asmah Mohamed Mokhtar untuk menghasilkan hidangan itu mengikut acuannya tersendiri.

Kata Asmah, dia belajar membuat kuih bulan daripada rakannya sendiri yang berbangsa Cina.

“Dia menyuruh saya membuat kuih bakul apabila mendapati kuih yang saya buat sedap.

NOOR ASMAH MOHAMED MOKHTAR

“Apabila saya kata saya tidak pandai, dia sendiri mempelawa untuk mengajar membuat kuih bakul.

Dalam proses belajar membuat kuih adat daripada kaum lain, Asmah bukan sahaja diberi tunjuk ajar dan resepi tetapi juga pantang larang.

“Saya mengikut pantang larang tersebut bukan sebab kerana percaya atau hendak menjadi orang Cina.

“Tetapi saya melihat pantang larang ini sebagai satu disiplin dalam pembuatan makanan.

“Contohnya jangan bercakap ketika membuat kuih sebenarnya mengajar kita fokus, jadi apabila kita fokus pembuatan kuih lebih teliti,” jelasnya.

ASMAH belajar membuat kuih bakul daripada rakannya sendiri yang berbangsa Cina.

Bagi pengusaha syarikat Roti Laleez Enterprise itu, tempahan setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina sangat tinggi sehingga tidak menang tangan selepas berjinak-jinak dengan pembuatan kuih itu sejak enam tahun lalu.

Malah katanya, kuih bakul terus mendapat permintaan walaupun ketika pandemik Covid-19, sekali gus menjadi sumber rezeki semasa sektor perniagaan sedang berdepan krisis ekonomi.

“Saya menjual Coklat Sarawak tetapi terhenti kerana bahan pembungkusan coklat habis.

“Jadi apabila coklat tidak dapat dijual, ini merupakan satu inisiatif untuk membantu saya mendapatkan pendapatan dan membayar gaji pekerja,” katanya.

Memperhalusi cara pembuatan kuih bakul, Asmah sendiri akan mengajar masyarakat Melayu cara untuk makan kuih bakul mengikut selera masing masing.

MEMBUAT kuih tradisional Cina mengikut selera Melayu.

“Saya sendiri akan mengajar pelanggan Melayu bagaimana cara makan kuih bakul mengikut selera orang Melayu.

“Saya akan mengajar cara memotong menggunakan benang, cara menyimpan dan cara menggoreng.

“Semasa menggoreng, kuih tersebut boleh disalut daun keladi, kulit popia dan telur mengikut selera masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata usahawan berusia 44 tahun itu, kepelbagaian bangsa dan budaya di Sarawak harus dimanfaatkan dengan mendalami makanan masyarakat lain.

Secara tidak langsung jelasnya, ia dapat mewujudkan semangat perpaduan melalui makanan.

“Niat utama saya belajar membuat dan menjual kuih bakul ini adalah untuk berkongsi kegembiraan ketika makan kuih masyarakat Cina.

“Mungkin ada masyarakat Melayu yang ingin tetapi ragu-ragu dengan status halal kuih bakul.

Jadi saya rasa ini peluang dalam perniagaan sekali gus usaha menyatukan perpaduan melalui makanan,” katanya lagi.

Jelas Asmah, dengan memahami, berkongsi dan menghormati budaya kaum lain, ia sudah mampu mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.