Kuih tiga serangkai sajian wajib untuk sambut Gawai Dayak

PUSA: Kuih Jala, Cap dan Penyaram antara sajian tradisional yang tidak dapat ditinggalkan menjelang sambutan Gawai Dayak yang disambut hari ini.

Biarpun Gawai tahun ini disambut dengan kelaziman baharu, tetapi ia tetap dirai terutama dengan ahli keluarga sendiri.

Bagi salah seorang ibu Geni Tandang dari Rh Blok-Undai, persiapan hari terakhir sebelum Gawai dihabiskan untuk menyediakan tiga sajian wajib.

“Menu lain memang ada, sebahagian dibeli, ada juga dibuat sendiri oleh anak-anak.

“Namun, untuk kuih Jala, Cap dan Penyaram memang saya buat sendiri… setiap Gawai Dayak ketiga-tiga kuih tradisional ini sentiasa ada untuk tetamu.

“Maka, tidak hairanlah walaupun dalam tempoh PKPB dengan Gawai yang disambut dalam kelaziman baharu, ‘tiga serangkai’ itu masih menjadi keutamaan saya dan keluarga,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, tiada kuih Jala, Cap dan Penyaram pada musim perayaan seolah-olah tidak lengkap.

“Saya suka buat kuih-kuih tersebut untuk memastikan makanan tradisional tidak hilang ditelan zaman, lagi pun anak-anak suka.

“Lebih-lebih lagi rasanya yang sedap dan mudah dibuat, sekurang-kurangnya apabila disediakan sendiri, ‘mood’ gawai itu lebih dirasai walaupun sambutan Gawai Dayak hanya sehari,” ujarnya.

Geni menambah Gawai Dayak tahun ini lebih baik diterap dengan semangat ‘kita jaga kita’ seperti mana saranan kerajaan supaya terhindar daripada sesuatu yang tidak baik.

Beliau berharap pandemik Covid-19 yang melanda dunia cepat berakhir seterusnya membolehkan masyarakat menjalani kehidupan seperti biasa.

Beliau dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Gawai Dayak kepada semua yang meraikannya tidak kira di mana berada.

UNTUK GAWAI… Geni bekerja keras menyiapkan kuih Cap selepas selesai membuat kuih Jala dan Penyaram di sini, semalam.

Suara Sarawak