CENTEXS tawar empat program latihan Tenaga Hijau

Trending

Kukuh ekonomi, tambah hasil negeri

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Gambar hiasan
Gambar hiasan

RANG undang-undang (RUU) berkenaan ordinan Dana Berdaulat dijangka dapat memberi manfaat kepada pembangunan negeri serta rakyat, selain menjadi simpanan demi masa depan Sarawak sama seperti yang dilaksanakan oleh negara Norway.

Justeru, tindakan yang sama dicadangkan di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mewujudkan satu tabung khas bagi kegunaan kerajaan negeri pada masa akan datang.

Secara mudahnya, Dana Berdaulat ini cuba diwujudkan oleh kerajaan bagi menyediakan satu simpanan wang yang boleh memberi pelbagai faedah kepada negeri dan rakyat, untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri maju secara menyeluruh.

Ia sesuai dengan hasrat Abang Johari untuk menjadikan Sarawak antara negeri paling maju dalam Malaysia dari aspek pembangunan negeri dan masyarakat menjelang tahun 2030.

Oleh itu, kerajaan negeri sedaya upaya untuk memastikan semua perancangan tersebut dapat dijadikan realiti yang membanggakan.

RUU berhubung Dana Berdaulat sebelum ini telah dibincangkan secara mendalam oleh pihak-pihak yang berkaitan, dan baru-baru ini telah diumumkan bahawa undangundang tersebut akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, November kelak.

Baca lain  Penguasaan minimum UPSR Sarawak meningkat

Abang Johari memberitahu bahawa idea yang dibentangkan kelak berteraskan konsep Dana Pencen yang diguna pakai oleh Kerajaan Norway.

Menurutnya, RUU tersebut dijangka beroperasi pada tahun 2024, sekiranya pembentangan tersebut diluluskan dalam Dun, pada November akan datang.

“Sarawak kini memiliki rizab kewangan terbesar berbanding negeri lain. Ia perlu dilaburkan semula agar dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat. “Pertambahan simpanan negeri ini harus dilaburkan semula sebahagiannya bagi memberi pulangan hasil demi kepentingan generasi akan datang melalui sebuah dana yang dinamakan Dana Berdaulat,” katanya.

Tambahnya, masa depan Sarawak amat cerah kerana memiliki banyak sumber yang boleh dimanfaatkan.

Ramai pelabur ingin datang kerana kelebihan Bumi Kenyalang dari segi kestabilan politik dan perpaduan rakyat.

Keyakinan Premier Sarawak itu jelas menampakkan bahawa hala tuju kepimpinan membawa ke arah yang berkepentingan untuk negeri dan rakyatnya.

Justeru, tindakan pemimpin Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama dengan Norway dalam usaha ke arah kejayaan pembentukan dan pengurusan dana kekayaan berdaulat sendiri sangatlah bijak.

Baca lain  Sarawak terima bantuan tangani lonjakan kes Covid-19

Kejayaan Dana Kekayaan Berdaulat Norway diiktiraf secara meluas dan berjaya membawa pulangan hasil lumayan untuk negara itu.

Ia diuruskan menerusi standard tadbir urus tertinggi sejak penubuhannya pada 1996, justeru menjadi satu tanda aras yang perlu diikut oleh Sarawak Menelusuri Dana Pencen Kerajaan Global Norway, dana tersebut pada awalnya menerima suntikan daripada lebihan hasil sektor petroleum sebanyak dua bilion krone daripada Kerajaan Norway pada tahun 1996.

Kemudian, pada tahun 2021, nilai keseluruhan dilaporkan mencecah USD1.35 trilion.

Banyak dana serupa dilaksanakan di seluruh dunia, namun dana Norway adalah yang terbesar dengan amalan tadbir urus yang baik dan dasar yang jelas dalam pengurusan dana.

Justeru, kejayaan konsep Dana Pencen Norway dipilih untuk menjadi model bagi Dana Berdaulat Sarawak, di samping berkongsi banyak persamaan termasuk keadaan geografi luas dan berpenduduk jarang serta dilimpahkan sumber asli yang banyak, terutama minyak dan gas serta kuasa hidro.

Dalam pada itu, Timbalan Premier Sarawak juga menekankan kepentingan wujudnya Tabung Dana Berdaulat ini demi kepentingan Sarawak.

Baca lain  Jangan terpedaya taktik ulat tiket

Katanya, undang-undang baharu yang diimplementasikan pada penghujung tahun ini akan membawa perubahan kepada negeri ini dari pelbagai aspek, dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Seperti di Norway, mereka mula dengan menyuntik dua bilion krone untuk dana pencen, namun selepas 26 tahun, jumlah meningkat kepada USD1.35 trillion.

“Itu merupakan satu keperluan yang amat penting demi masa depan negeri dan rakyat, khususnya generasi akan datang. “Oleh itu, kita mesti bersatu padu. Kita tidak akan dapat capai matlamat utama sekiranya tiada persefahaman.

Apabila negeri Sarawak kaya, rakyat turut mendapat manfaat,” katanya.

Wujudnya dana ini tidak diragui, pasti akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak, selain menepati ikrar yang termaktub dalam manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Langkah yang diperkenal kerajaan GPS ini juga diyakini dapat memperkukuh ekonomi serta menambahkan lagi hasil negeri Sarawak kelak.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

7 Jun 2023

Berita Terbaru