ARTIKEL

Kukuh hubungan negara Komanwel

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI Komanwel disambut bagi meraikan jalinan dan ikatan persahabatan serta sumbangan Komanwel ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.

Tahun ini, sambutan Hari Komanwel bertemakan ‘One Resilient Common Future: Transforming Our Common Wealth’ menyeru negara ahli untuk meningkatkan kerjasama membina daya ketahanan, membuka potensi dan mengukuhkan hubungan digital bagi memastikan Komanwel kekal relevan pada masa hadapan.

Justeru, Malaysia sebagai salah satu daripada negara ahli mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-27 di Apia, Samoa pada Oktober tahun ini.

Ia membuktikan Malaysia sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan negaranegara ahli Komanwel dalam bidang keutamaan, termasuk tadbir urus yang baik, diplomasi kesihatan, pencegahan ekstremisme dan keganasan, pembangunan lestari, pemerkasaan wanita serta belia, perdagangan dan isu alam sekitar.

Terdahulu, Malaysia menyertai Komanwel selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, dan Pertubuhan Komanwel terdiri daripada 56 negara ahli yang dahulunya merupakan sebahagian daripada empayar British.

Daripada semua negara ahli, Malaysia merupakan antara negara Komanwel yang menerajui pembangunan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya berkata, perkara tersebut adalah antara yang dimaklumkan pada Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) ke-22 yang dihadirinya di Malborough House, London, United Kingdom pada 16 hingga 17 Mei lalu.

PENDIDIKAN

Jelasnya, mesyuarat kali ini menunjukkan keseriusan semua negara ahli Komanwel untuk memastikan pendidikan di setiap negara dapat membangun bersama-sama terutamanya dalam mengejar kepantasan dunia teknologi semasa.

“Mesyuarat yang diadakan itu bersetuju mengambil Malaysia sebagai satu daripada negara contoh yang mempunyai amalan terbaik bagi memastikan aspirasi digital dan AI dijayakan.

“Antara syor yang dipersetujui ialah Komanwel perlu menjadi entiti penting dalam bidang pendidikan dan antara cadangannya ialah mewujudkan Commonwealth AI Coordinating Program.

“Ia merupakan salah satu langkah untuk membantu 56 negara anggota Komanwel yang kebanyakannya masih berhadapan masalah infra dan kemudahan asas Internet,” katanya.

Tambah Zambry, CCEM turut menghimpunkan menteri-menteri negara anggota Komanwel bagi membincangkan perihal pendidikan dan perkongsian bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan negara anggota.

Pada persidangan tersebut, beliau turut membangkitkan soal pendekatan terbaik bagi menarik minat dalam bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Selain itu, beliau berkongsi kaedah pembelajaran pedagogi yang lebih efektif selain mengutarakan isu berkaitan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Saya berkongsi dengan rakan negara anggota Komanwel bahawa Malaysia bergerak ke hadapan dalam bidang TVET dan menubuhkan Majlis TVET Negara bagi menyelaras setiap bahagian dan agensi yang terlibat.

“Terdapat empat perkara yang perlu diambil berkenaan TVET iaitu komitmen kerajaan dan pihak berkaitan, penglibatan pelbagai peringkat kumpulan dan segmen masyarakat, kualiti falsafah pendidikan serta nilai kemanusiaan (etika),” jelasnya.

Pada masa yang sama, Zambry menjelaskan, CCEM kali ini turut memperlihatkan kesungguhan setiap negara anggota untuk memastikan pendidikan di setiap negara dapat membangun bersama-sama terutamanya dalam mengejar kepantasan kemajuan teknologi dunia.

PEMBINAAN MANUSIAWI

Di samping itu, Zambry juga menegaskan Malaysia mengesyorkan aspek pembinaan manusiawi yang terangkum dalamnya nilai spiritual, rasa ihsan, empati dan belas kasihan.

Katanya, aspek berkenaan merupakan satu teras yang perlu ada dalam sistem pendidikan sejak dari awal, dan ia merupakan asas yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Senario pendidikan terkini dan dunia berkembang pantas diasak arus teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 seperti AI dan tsunami digital, perlu seiring pentingnya kekuatan manusiawi dan akhlak serta nilai.

Faktor ini tiada dalam AI.

“Hal ini juga diperakui dan diterima oleh mesyuarat untuk dijadikan asas dan Malaysia boleh dijadikan rujukan oleh negara Komanwel yang lain,” ujarnya.

BERITA LAIN

Cabaran REMAJA

PEJABAT Pendidikan Daerah Mukah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers menganjurkan Program Motivasi Pelajar di Dewan Tom Bazeley, baru-baru ini. Program ini menghimpunkan seramai 145

SIMULASI HAJI CILIK

Kurikulum kebangsaan Malaysia menggariskan pelajar Islam perlu didedahkan dengan teori umrah dan haji. Pembelajaran teori ini juga harus disokong pembelajaran praktikal agar lebih berkesan. Justeru,

Hayati falsafah korban

HARI ini 10 Zulhijah 1445 Hijrah, umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Ia sangat sinonim dengan ibadah

Fadillah ucap Selamat Hari Bapa

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini mengucapkan Selamat Hari Bapa yang disambut hari ini kepada semua insan yang bergelar bapa.

BERITA TERBARU