KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan dua hala antara Malaysia dan Indonesia menerusi Program Patroli Terkordinasi (Patkor) Siri 1/2022.
Panglima 3 Briged Brigadier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latiff berkata ia juga dapat meningkatkan kesefahaman antara TDM dan TNI-AD.
“Menerusi program Patkor, kita dapat mewujudkan kesepakatan dan permuafakatan antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam menjaga keamanan sempadan.
“Pada masa sama, ia juga sejajar dalam mendukung tonggak keempat perintah ulung Panglima Tentera Darat ke-28 iaitu pengukuhan hubungan pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Upacara Penutup Patroli Terkoordinasi TDM dan TNI-AD Siri 1/2022, di sini, hari ini.
Manakala, Brigadir Jenderal Komandan Korem 121/Alambhana Wanawwai (121/ABW) Pribadi Jatmiko turut mendedahkan kepentingan program yang telah tertangguh sejak tahun 2020 akibat pandemik.
“Program tersebut memberi kesan yang positif terhadap hubungan, khususnya dalam kalangan tentera di kedua-dua buah negara.
“Kita yakin, ia dapat meningkatkann kerjasama, persefahaman dan lain-lain agar dapat melaksanakan tugas penjagaan keamanan dengan lebih baik di sepanjang sempadan negara,” ujarnya.
Secara ringkasnya, Patkor merupakan sebuah aktiviti bilateral antara Formasi 3 Briged bersama-sama dengan Korem 121/ABW dengan penglibatan TDM dan TNI-AD.
Program yang dianjurkan selama 10 hari itu turut mengadakan aktiviti rondaan selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos lalu merangkumi kawasan sepanjang 30 kilometer bermula dari Batu Sempadan D 346 sehingga ET 91.

Selain itu, terdapat juga pengisian program seperti pelaksanaan projek jiwa murni atau karya bakti yang diadakan di Desa Santaban Sajingan Besar pada 28 Ogos.
Ia bertujuan untuk membantu membaikpulih jalan bersama-sama dengan masyarakat kampung setempat. Aktiviti riadah turut diadakan sepanjang pelaksanaan program berlangsung.
Program tersebut berjaya ditamatkan dengan lancar, sekali gus mencapai hasrat untuk mengukuhkan jalinan kerjasama erat antara tentera di kedua-dua negara terlibat.
