Kumpul guru Sains dan Matematik

MIRI: Pelajar perlu diberikan pendedahan awal tentang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) untuk memupuk minat dalam bidang bidang sains dan matematik.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, ini kerana jumlah kemasukan pelajar ke aliran Sains masih berada pada kedudukan jauh dari sasaran ditetapkan.

“Kemasukan pelajar ke aliran Sains di Sarawak sekarang adalah sebanyak 24.3 peratus, hanya sedikit peningkatan daripada angka tahun lepas sebanyak 23.2 peratus, namun masih jauh di bawah sasaran negara iaitu sebanyak 60 peratus.

“Bilangan pendaftaran yang sedikit ke aliran Sains di peringkat sekolah menengah atas akan mengurangkan jumlah kemasukan ke dalam kursus teknikal dan Stem dalam pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Stem Playground Miri di Pustaka Sarawak Miri di sini, semalam.

Oleh itu, beliau berkata, penting bagi Kerajaan Sarawak untuk mendedahkan pelajar kepada Stem sejak kecil dan memberi mereka peluang untuk meneroka konsep berkaitan Stem.

Micheal Manyin memberitahu, Sarawak kini bersiap sedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0, maka pelajar perlu mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan seperti Stem untuk masa depan.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya guru dalam bidang Sains dan Matematik di setiap bahagian dapat dikumpulkan untuk pertukaran ilmu bagi penyampaian pembelajaran yang lebih berkesan.

“Sekarang, majoriti guru terutamanya dari luar bandar yang mengajar Sains dan Matematik di sekolah adalah terpaksa kerana kekurangan guru dalam bidang tersebut.

“Mereka kebanyakannya adalah guru mata pelajaran lain, tetapi diminta untuk mengajar Sains dan Matematik disebabkan kekurangan guru yang khusus dalam matapelajaran itu,” tambahnya.

Stem Playground yang berlangsung selama dua hari adalah anjuran Kerajaan Sarawak dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (Tegas).

Turut disokong Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dan Lembaga Multimedia Sarawak dengan kerjasama Universiti Curtin Malaysia Kampus Sarawak di Senadin dan pelbagai agensi lain.

Ia dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan minat kanak-kanak dan pelajar terhadap Stem melibatkan aktiviti bengkel, pameran industri, pertandingan dan pelbagai aktiviti lain.

Turut hadir Adun Telang Dennis Ngau, Adun Batu Danau Paulus Gumbang, Pengurus Wilayah Pustaka Miri Salina Zawawi dan Ketua Pegawai Operasi Tegas Awangku Merali Pengiran Mohamed.

Suara Sarawak