Kumpulan Perantau Seni juara dalam Festival Bermukun Bahagian Mukah 2019

OYA: Kumpulan Perantau Seni dari bahagian Bintulu yang dibarisi peserta petandak Solehdin Laila dan Osman Salleh yang membawa rentak lagu Cinta Berahi telah berjaya meraih gelaran Johan dalam pertandingan bermukun sempena Festival Bermukun Baha.

Pertandingan bermukun berlangsung di Pentas Utama Oya Square, Laman Solidariti,Pekan Oya di sini malam tadi.

Kumpulan tersebut berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,200, piala dan sijil.

Kumpulan Seroja dari Bahagian Limbang yang dibarisi oleh petandak Sijim Julak dan Razali Abu Bakar dengan membawa rentak lagu Sayang Sarawak menduduki tempat kedua dengan menerima hadiah RM1,000, piala dan sijil.

Manakala tempat ketiga milik kumpulan Warisan Budaya dari Kampung Penat Mukah yang dibarisi petandak Merni Idi dan Zaidi Othman dengan rentak lagu Cinta Berahi menduduki tempat Ketiga dan sekali gus menerima hadiah wang tunai RM800.00, piala dan sijil.

Negara Brunei Darussalam yang turut menghantar peserta kumpulan Selendang Sutera dengan petandak Irwan Rino Hordin dan Mohd Radzib Abdul Raub dengan rentak lagu Shamsuddin pula memenangi hadiah khas Busana, Tatarias, dan Kreativiti Terbaik.

Pemenang saguhati tempat keempat hingga kelapan dengan memenangi hadiah RM200.00 dan sijil terdiri daripada Kumpulan Putra Oya/Mukah dari Mukah, Serumpun Budaya Sarawak (Mukun) dari Bahagian Limbang, Selendang Sutera dari Negara Brunei Darussalam, Sri Menyisin Melayu Sarawak dari Kampung Bawang,Matu dan Cinta Budaya dari Kampung Sungai Alo,Mukah.

Manakala Kumpulan Warisan Tengah Oya, Gagak Hitam dan Wajah Baru dari Daerah Kecil Oya menduduki kedudukan tempat kesembilan hingga kesebelas turut menerima hadiah saguhati RM100.00 dan sijil.

Menteri Kebajikan ,Kesejahteraan Komuniti , Wanita , Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.56 Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan turut menyampaikan tiga Cek Peruntukan MRP ADUN N.56 Dalat bagi tahun 2019.