Kumpulan pertama bekalan vaksin diperoleh Februari

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19  untuk Malaysia diperoleh pada Februari.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada mesyuarat kabinet baru-baru ini.

“… ini adalah bekalan awal… bekalan akan berterusan hingga penghujung 2021.

“Bekalan awal ini juga kita akan gunakan untuk barisan hadapan negara yang berdepan risiko tinggi untuk mengawal penularan COVID-19, golongan ‘vulnerable’ juga akan didahulukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kawasan Parlimen Gombak di sini, hari ini.

Menurutnya  kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat-syarikat farmaseutikal lain.

“Kerajaan sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin yang lebih besar bagi memenuhi keperluan (negara). Kerajaan juga akan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan untuk mengetahui peratusan mereka yang perlu divaksin,” kata Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Pada 24 Nov lepas, Malaysia mengumumkan bahawa ia akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.– BERNAMA

Suara Sarawak