Kumpulan sabung ayam di kebun diserbu

KUCHING: Enam lelaki antara sekumpulan individu yang berjaya diberkas ketika sarang kegiatan sabung ayam mereka di kebun Namlung, Jalan Fairy Cafe, diserbu polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, hasil risikan awal pihaknya mendapati orang ramai berkumpul dan dipercayai sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam sebelum lokasi itu diserbu sekitar jam 11 pagi.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Bau itu berjaya menahan enam lelaki warga tempatan berusia lingkungan 16 hingga 73 tahun.

“Ketika serbuan, kesemua suspek bertempiaran lari dan meninggalkan ayam sabung mereka di lokasi.

“Pasukan kita berjaya menahan enam daripadanya manakala selebihnya berjaya melarikan diri,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil serbuan menemui enam ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, seunit alat penimbang, dan sebilah taji pisau disyaki antara peralatan digunakan dalam kegiatan terbabit.

Susulan itu, katanya, suspek bersama peralatan kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020(Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan)(No.20) 2020.