Trending

Kumpulan Verifier, RMATES, KoderX diumumkan johan Hackathon AML/CFT BNm

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUALA LUMPUR: Kumpulan Verifier dari Australia dan RMATES dari Malaysia menjuarai Hackathon Anti Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) Bank Negara Malaysia (BNM) 2023, masing-masing bagi kategori sektor awam dan swasta.

Johan bagi kategori terbuka pula disandang oleh KoderX dari Singapura.

Bank pusat dalam kenyataan semalam berkata para peserta yang terdiri daripada badan pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan, entiti swasta dan pelajar universiti telah bersaing untuk mencipta prototaip alat digital yang inovatif bagi memerangi jenayah kewangan.

Menurutnya pertandingan itu yang dilancarkan pada April 2023 telah menarik penyertaan lebih 660 peserta daripada 140 pasukan, mewakili lebih 20 negara di rantau Asia Pasifik. 

Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata prototaip yang dibangunkan oleh para pemenang menunjukkan kemampuan mengatasi jenayah kewangan dengan penyelesaian yang inovatif.

“Tugas penting seterusnya adalah untuk menukar prototaip ini kepada alat digital yang sebenar.

Saya menyeru institusi kewangan dan badan pengawal selia serta agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meneroka kesemua alat digital ini agar kita dapat memerangi jenayah kewangan bersama-sama dengan berkesan,” kata beliau.

Menurut BNM, Verifier FIX yang dibangunkan oleh kumpulan Verifier adalah platform yang membolehkan bank-bank berkongsi maklumat berkaitan tahap risiko jenayah kewangan dalam kalangan pelanggan dan pada masa sama memelihara privasi.

OmniQuest yang dibangunkan oleh kumpulan RMATES pula memerhati corak dan anomali daripada jejak digital peranti mudah alih bagi mengesan aktiviti mencurigakan, seperti transaksi yang dibuat pada masa dan lokasi yang luar dari kebiasaan, dalam masa nyata, katanya.

Sementara itu, SentinelGuard yang dibangunkan oleh kumpulan KoderX bertujuan mengurangkan serangan perisian hasad serta penyamaran identiti menerusi penyelarasan komunikasi antara bank dengan pengguna secara memanfaatkan platform mekanisme penyulitan keseluruhan.

Bank pusat menjelaskan, johan bagi setiap kategori menerima wang tunai berjumlah US$5,000 dan akan turut berpeluang membentangkan prototaip yang dibangunkan kepada ketua-ketua delegasi Unit Perisikan Kewangan di mesyuarat Kumpulan Perunding Perisikan Kewangan yang akan diadakan pada bulan ini.

Naib johan bagi kategori sektor awam disandang oleh CBI India dari India, The Interns (Malaysia) bagi sektor swasta dan H7N (Brazil) untuk kategori terbuka.

Pemenang tempat ketiga bagi sektor awam adalah TrackAML (Indonesia), Currypuff (Malaysia) bagi sektor swasta dan MATA (Malaysia) untuk kategori terbuka. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru