KUCHING: Empat kumpulan dalam aplikasi Whatapps yang ditubuhkan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerima maklum balas yang positif daripada semua pihak berkepentingan.
Ia mendapat respon yang cepat mengenai isu-isu yang diutarakan kerana tidak memerlukan proses surat-menyurat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, empat kumpulan dalam aplikasi Whatapps itu menyentuh mengenai perkara bekalan air, bekalan elektrik, bekalan agihan gas dan telekomunikasi di Sarawak.
“Semua ADUN, ahli parlimen dan menteri-menteri di negeri ini dimasukkan dalam kumpulan tersebut.
“Saya menerima maklum balas daripada mereka menyatakan bahawa cukup gembira dengan konsep kumpulan terbabit kerana banyak perkara yang tidak memerlukan surat-menyurat bagi mendapat respon yang cepat daripada kementerian kita dan agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sambutan Pra-Gawai Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi di Hotel Grand Margherita, malam tadi.
Tambah beliau, amat bangga dan berterima kasih kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam memberikan respon yang cepat mengenai isu-isu harian walaupun ia menimbulkan rasa gemuruh dalam kalangan mereka.
“Walau bagaimanapun, jangan terlalu risau kerana kita membentangkan maklumat dan fakta yang sebenar.
“Oleh sebab itu, kerjasama penuh daripada semua kementerian dan pelbagai agensi amat diperlukan supaya menampakkan hasil yang positif dalam menangani isu-isu yang berlaku,” ujarnya.
Tegasnya, kerjasama yang erat dapat dikendalikan dengan mudah dalam menangani isu-isu harian umpama berat sama dipikul ringan sama dijinjing.
Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.