Kuota haji, TH tunggu maklum balas rasmi Arab Saudi

IPOH: Lembaga Tabung Haji (TH) menunggu makluman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung tambahan kuota rasmi haji yang dijangka dimaklumkan Riyadh pada Ramadan April nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata sementara menunggu makluman itu, TH akan membuat pelbagai persediaan sepatutnya bagi mempersiapkan bakal jemaah haji sebelum bertolak ke Makkah.

“Saya yakin sekitar Ramadan kita akan dapat tahu mengenai kuota haji. Walaupun ia waktu yang singkat untuk membuat persediaan, tetapi TH akan ambil secara positif untuk membuat persediaan mengikut kemampuannya, selain bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah dihadapi bakal jemaah haji.

“Kita tunggu mereka (Arab Saudi), yang pastinya ia mengambil kira aspek kesihatan, keamanan dan keselamatan yang menjadi agenda utama (ketika menunaikan ibadah) dan bukannya sekadar penyediaan tempat, tetapi jemaah haji itu sendiri,” katanya selepas menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Perak di Dewan Besar Tabung Haji, hari ini.

Seramai 218 pelajar UTM dari Johor, Perak dan Pahang menerima bantuan komputer riba serta wang tunai melalui inisiatif Program Iqra’ yang antara lain memberikan bantuan pendidikan kepada pelajar golongan asnaf dan keluarga B40.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini berkata, Malaysia mendapat tambahan kuota rasmi haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak COVID-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.

Perkara itu dipersetujui Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud dalam pertemuan mereka pada Selasa lalu di Riyadh.

Ditanya mengenai pemilihan dan kuota jemaah haji, Zulkifli berkata, masih terlalu awal untuk diletakkan sebarang sasaran jumlah bakal haji yang dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Pemilihan bakal haji mengikut syarat ditetapkan TH sebelum ini seperti perlu disuntik vaksin, tetapi untuk jumlahnya, kita belum ada angka rasmi lagi. TH akan lihat pada kemampuan dan kesihatan bakal haji termasuk dalam kalangan warga emas,” katanya.

Mengikut laman web TH, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.

Terdapat kira-kira 3.6 juta bakal jemaah haji yang berdaftar dengan TH ketika ini dan secara asasnya terpaksa menunggu hingga 130 tahun untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji.

Ditanya kontroversi membabitkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang tidak hadir ke mahkamah berhubung isu menghina Islam dan kes membabitkan Wan Norhayati Wan Alias yang terpalit isu ajaran sesat, Zulkifli berkata, beliau akan membuat kenyataan bertulis mengenai perkara itu dalam masa terdekat. — BERNAMA

Suara Sarawak