
KUCHING: “Kurangkan berpolitik, lebih kuat bekerja.” Itu saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof kepada para pemimpin demi pembangunan di negara ini khususnya dari sudut ekonomi.
Katanya, semua pihak harus mengutamakan kepentingan rakyat dengan saling bersatu padu.
“Itu juga adalah asas yang perlu dilakukan,
apabila kita bersatu barulah kita dapat fokus kepada perancangan membangunkan negara.
“Kurangkan bercakap dan bekerja lebih kuat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), di Ibu Pejabat SUPP, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui dekat sini, pagi tadi.
Sementara, sempena Tahun Baharu Cina, Fadillah berharap agar budaya kunjung-mengunjung akan terus dikekalkan supaya hubungan antara masyarakat berbilang kaum terus erat.
Menurutnya, budaya itu juga telah menjadi kekuatan yang membina Sarawak yang lebih kuat.
“Saya berharap negara kita nanti lebih bersatu padu menuju ke satu destinasi yang baru iaitu kecemerlangan negara dan kemakmuran untuk semua rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika ditemui pagi tadi memaklumkan Sarawak bertuah kerana memiliki perpaduan yang amat rapat dalam kalangan rakyat.
“Justeru, negeri ini sememangnya satu contoh yang baik untuk keseluruhan negara… dan kita berharap agar ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Di bawah slogan “Malaysia Madani”, kita dapat lihat banyak perkara yang sudah dicapai khususnya di negeri ini,” tegasnya.