Kurangkan cukai kereta elektrik

KUCHING: Penggunaan kereta elektrik boleh berkembang di Sarawak, jika kerajaan mengurangkan cukai untuk kenderaan terbabit sekali gus menjadikan harganya lebih murah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, pihaknya bersedia menyediakan stesen pengecas namun ketika ini, tidak ramai pengguna kenderaan itu di Sarawak memandangkan harganya yang sangat mahal.

“Kita akui salah satu pengeluar karbon dioksida ialah pengangkutan, jadi kalau kita mengubah penggunaan daripada kenderaan petrol kepada elektrik, saya rasa ia akan menyumbang banyak kepada pemeliharaan alam sekitar.

“Namun tidak ramai yang mampu memiliki kereta elektrik berbanding kereta petrol. “Maka jika kerajaan boleh mengurangkan cukai kenderaan ini, sudah pasti ramai yang mampu memilikinya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Pemimpin Tenaga sempena Forum Tenaga Boleh Diperbaharui dan Lestari (Saref) anjuran Sarawak Energy Berhad (SEB) di BCCK di sini, semalam.

SEB merupakan syarikat pembekal elektrik di Sarawak, yang kini mengendalikan tiga empangan hidro iaitu Batang Ai, Bakun dan Murum, selain sedang berusaha membina empangan hidro Baleh menjelang 2026.

Sharbini berkata, pihaknya juga terbuka kepada pelabur luar yang ingin melabur dalam sektor pembekalan tenaga hijau di Sarawak.

Katanya bidang yang boleh diceburi termasuklah pembekalan sistem solar bukan sahaja di luar bandar tetapi seluruh Sarawak.

“Kami sentiasa mengalu-alukan dan gembira berbincang dengan sesiapa (pelabur) yang hendak masuk tetapi persoalannya adakah mereka mampu mengekalkan perniagaan di sini,” ujarnya.