Kurangkan polemik, beri cadangan bernas

KEBANYAKAN aktiviti harian kita agak terganggu sepanjang musim pandemik Covid-19.

Untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu mungkin memerlukan masa.

Begitu juga dalam dunia, pendidikan para guru kini didedahkan dengan Pembelajaran dan Pengajaran dari Rumah.

Walaupun mereka sudah biasa dengan teknologi maklumat dan komunikasi dan Internet namun mengajar secara dalam talian adalah sesuatu yang sangat baharu bagi guru.

Saya yakin mereka boleh melakukannya, cuma memerlukan masa untuk meneroka dan memahirkan diri.

Namun masih ada warganet yang cuba berkias-kias membuat cuitan dan ciapan nakal di media sosial menyindir guru yang melakukan pengajaran dalam talian.

Ada yang mencadangkan agar gaji guru dipotong dan diberikan kepada ibu bapa yang bertungkus-lumus mengajar anak di rumah.

Sebenarnya saya tidak berkenan dengan cuitan nakal tentang polemik guru yang kononnya mendapat “gaji buta” semasa musim pandemik yang menyebabkan sesi pembelajaran secara bersemuka ditangguhkan.

Oleh itu bagi memastikan pembelajaran berterusan maka KPM mengarahkan agar pihak sekolah membuat sesi pembelajaran dari rumah.

Namun cuitan yang mahu gaji guru dipotong separuh dan diberikan kepada ibu bapa yang mengajar di rumah tidak masuk akal.

Saya cuba untuk tidak melihat posting tersebut namun hampir setiap hari ia tetap dikongsi dan melalui paparan media sosial.

Oleh itu saya ingin memberikan sedikit pandangan. Saya pada umumnya tidak ada masalah jika gaji saya dipotong separuh dan diberikan kepada ibu bapa yang mengajar, walaupun pada hakikatnya saya akan mengikat perut jika ia berlaku.

Biarlah ia diberikan dengan lebih adil mengikut tugas.

Contohnya… jika gaji itu dibayar hanya untuk mengajar tidak layak diberi separuh.

Ini kerana ibu bapa hanya mengajar anak sendiri, sedangkan guru mengajar anak-anak orang lain yang mungkin berjumlah 20 hingga 30 orang.

Untuk lebih adil apa kata jika ibu atau bapa (yang menulis cuitan nakal itu) mengajar satu kelas dan bukan hanya mengajar anak sendiri .

Seterusnya ibu bapa yang bakal dibayar gaji separuh itu melakukan tugas mengisi data kehadiran Aplikasi Pengkalan Data Murid atau APDM dan mengisi keberadaan guru di E- Operasi serta mungkin boleh memberi laporan disiplin dan amalan terbaik dalam Sistem Sahsiah Diri Murid atau SSDM.

Selepas mengajar anak sendiri ibu bapa perlu membuat laporan.

Laporan hendaklah berbentuk dalam talian.

Antaranya Rancangan Pengajaran Harian secara Elektronik atau eRPH berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang sudah beri penataran.

Jika sudah melibatkan pentaksiran maka terpaksalah membuat penilaian melalui kaedah Pentaksiran Bilik Darjah untuk menilai pencapaian anak di rumah.

Soalnya di sini adakah akan berlaku ketelusan jika ibu bapa menilai kerja sekolah anak sendiri?

Bagi subjek pula, adakah ibu bapa mampu mengajar semua subjek?

Atau ada yang memilih untuk mengajar subjek tertentu sahaja, contohnya Bahasa Melayu, Pendidikan Seni Visual atau Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Sesekali cubalah mengajar subjek Matematik, Sains, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Prinsip Akaun.

Boleh?

Cikgu yang bergaji separuh nanti… kami akan jaga sekolah, buat keceriaan (guna duit separuh gaji), baik pulih kerusi meja atau buat kerja rencam membaik pulih laluan masuk keluar sekolah mengikut SOP dan mengecat mural.

Ia tentunya sukar. Jadi para ibu bapa di luar sana apa yang penting sekarang ialah cuba kurangkan polemik dan cuba bantu mana yang mampu.

Guru-guru perlukan kerjasama kerana untuk mencapai matlamat kejayaan anak-anak yang penting ialah dorongan dan motivasi daripada ibu bapa.

Mengajar secara dalam talian ternyata sangat baharu bagi kami.

Saya yakin pihak Kementerian Pendidikan Malaysia kini sedang merangka satu subjek khas di Institut Pendidikan Guru untuk mengajar kemahiran pedagogi dalam talian.

Ini merupakan satu indikator bahawa dunia pendidikan sedang bergerak ke hadapan.

Kesimpulannya ibu bapa yang tidak memahami, berhentilah mengeluarkan kata-kata sindiran, jangan dibubuh garam pada luka.

Jangan dituba paya yang cetek.. Berbicara biar berpada.

Jangan terselak akal yang pendek. Kita sedia maklum, guru ada punca kuasa, punca kuasa daripada pihak KPM sudah memadai memberikan mandat untuk digalas dengan segala amanat dipikul rapat.

Kalau hendak bersuara, cadangkanlah sesuatu yang positif demi kebaikan semua pihak, terutama pelajar dan murid.
Sebenarnya setiap kali kami melintasi kelas yang sepi dan kosong, hati kami sebak sehingga tidak sedar air mata jernih bertakung dan mengalir di pipi.

Ini menunjukkan kami sangat rindu ucapan sapa murid “Selamat Pagi Cikgu”… kami rindu sangat sangat.

Janganlah dipadat dengan tohmah dan sindir sedang kasih kami pada anak-anak tidak pernah berbaki habis.