KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dengan kerjasama My Marzuq Sdn Bhd dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) akan menganjurkan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Diplomat Lesen B AFC/FAM/FAS/BIFA 2022.
Timbalan Presiden FAS Mohd Saif Jubaidi memberitahu, kursus terbabit akan berlangsung di Dewan Suarah Bintulu dan Padang Sintetik, Perbadanan Kemajuan Bintulu (BDA) bermula 20 Jun hingga 28 Ogos ini.
Jelasnya, kursus yang dijalankan ini juga melibatkan dua fasa yang mana Fasa Pertama akan berlangsung dari 20 hingga 30 Jun.
“Manakala Fasa Kedua akan berlangsung dari 18 hingga 28 Ogos nanti,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Tegasnya, penganjuran kursus berkenaan dilihat sebagai antara landasan tepat melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah di samping berharap usaha itu juga dapat meningkatkan kualiti bola sepak di negeri ini.
“Kita komited untuk melaksanakan kursus ini yang secara tidak langsung akan dapat memberi peluang kepada individu khususnya dari seluruh negeri ini untuk menceburi bidang kejurulatihan.
“Di samping dapat menampung keperluan pasukan yang menyertai kejohanan yang disertai selepas ini,” ujarnya.
Sehubungan itu kata Saif, pihaknya mengalu-alukan individu yang berminat untuk menyertai kursus berkenaan.
Katanya, penyertaan adalah terhad kepada 25 orang peserta sahaja dengan yuran sebanyak RM3,600.
“Yuran boleh dibayar mengikut fasa dan tarikh akhir pembayaran ialah dua minggu sebelum bermulanya fasa kursus dan tarikh akhir penyertaan pada 10 Jun nanti.
“Mereka yang berminat serta ingin mengetahui lebih lanjut butirannya boleh menghubungi Nicol Agoi di talian 013-8292864, Awang Madihi Awang Yatim di talian 014-8882470, Awang Abu Suhardi (014-9565760) dan David Usop (013- 8265292),” jelasnya.
