Kutip sampah guna aplikasi

KUCHING: Trieneken (Sarawak) Sdn Bhd secara rasminya melancarkan aplikasi mudah alih Trienekens Customer Care untuk pengurusan sisa supaya dapat berhubung dengan orang awam bagi menangani keperluan pengurusan sampah.

Pembangunan aplikasi sebahagian daripada rancangan strategik syarikat menerajui inovasi teknologi dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan sampah orang awam serta menyokong matlamat digital dan kemampanan Sarawak.

Menurut kenyataan media Trieneken, platform itu membolehkan komuniti dalam bidang kuasa DBKU, MBKS, MPP dan kawasan tertentu di bawah MDS untuk berkongsi serta memudahkan pertanyaan mengenai aplikasi Trienekens yang telah dilaksanakan pada 15 Jun lepas.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pengurusan sampah sangat penting terutamanya ketika negara sedang menghadapi wabak Covid-19.

“Covid-19 menyebabkan kita hidup dalam norma baharu bagi menangani masalah pengurusan sampah.

“Terima kasih kepada Trienekens kerana mengambil inisiatif untuk memperkenalkan aplikasi  mudah alih untuk memudahkan orang awam mencari maklumat dan membuat aduan sejajar inisiatif Kerajaan Sarawak mengenai ekonomi digital,” katanya.

Dalam pada itu, pembangunan aplikasi tersebut merupakan projek kerjasama antara syarikat itu dengan Universiti Swinburne Sarawak yang sentiasa menyokong integrasi ekonomi digital dan teknologi pengurusan sisa.

Melalui aplikasi tersebut, pelanggan boleh memohon tong sampah mudah alih baharu, melaporkan tong sampah yang hilang atau rosak, membuat aduan, meminta perkhidmatan kontena RoRo untuk sampah besar, mengisi borang dan tinjauan kepuasan pelanggan.

Aplikasi tersebut boleh dimuat naik melalui aplikasi Google Play untuk telefon pintar android dan iOS pengguna telefon Apple. Selain itu boleh menghubungi talian 082-612300 atau e-mel customercare@trienekens.com.my.

Suara Sarawak