KV Betong terus perkuat tali silaturahim dengan masyarakat

BETONG: Penganjuran program street iftar 5.0 dan khidmat masyarakat Kolej Vokasional (KV) Betong yang disusun atur dengan konsep berlainan berjaya memupuk keprihatinan warganya terhadap kebajikan komuniti setempat.

Pengarah KV Betong Lim Ah Juan memberitahu, program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini merupakan akvititi tahunan pihaknya dalam usaha menjalin hubungan rapat dengan seluruh masyarakat sekitar.

“Saya bersyukur kerana tahun ini penganjuran program ini sudah memasuki tahun kelima, namun dengan konsep yang sedikit berbeza.

“Buat julung kalinya, pihak penganjur yang ditunjangi Unit Psikologi dan Kerjaya (UPK), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK), Pengawas Pusat Sumber (PPS) dan Ahli Lembaga Koperasi (ALK) KV Betong menetapkan sasaran yang lebih berfokus berbanding sebelum ini.

“Kita melalui aktiviti khidmat masyarakat berjaya mengagihkan sumbangan juadah berbuka puasa selain duit raya kepada murid-murid miskin di SK Abang Abdul Kadir.

UNTUK ALBUM … Zulfaqar bergambar kenangan bersama warga kolej yang menyertai program street iftar 5.0 dan khidmat masyarakat KV Betong di perkarangan Tasik Medan, baru-baru ini.

“Ia hasil kutipan derma daripada seluruh warga KV Betong termasuk sumbangan peribadi pihak luar.

“Bagi saya hal ini amat bertepatan dengan amalan bersedekah yang sangat dianjurkan pada Ramadan yang mulia ini.

“Justeru, program CSR seumpama ini berjaya memupuk keprihatinan warganya terhadap kebajikan komuniti setempat selain memperkasakan dunia pendidikan kepada semua pihak,” katanya pada majlis tersebut, baru-baru ini.

Beliau berharap program seumpama ini tidak hanya patut dibuat pada Ramadan, sebaliknya harus diteruskan pada waktu-waktu yang lain.

Tambahnya, pada program tersebut juga dijalankan aktiviti outreach dengan mengedarkan risalah tentang KV Betong sebagai salah satu usaha mempromosi serta memperkenalkan penyedia bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Betong.

MERIAH … Suasana sekitar program street iftar 5.0 di perkarangan Tasik Medan, baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Kaunseling KV Betong selaku pengerusi jawatankuasa penganjur Kr. Muhammad Zulfaqar Mazlan menjelaskan pengisian utama iaitu street iftar memberi peluang kepada rakan yang bukan beragama Islam untuk merasai nikmat berbuka.

“Pada penghujung program semua peserta berkumpul di jalanan berhampiran Tasik Medan untuk bersama-sama berbuka puasa beramai-ramai di kawasan yang terbuka.

“Ironinya, rakan kita yang bukan Islam turut sama merasai suasana tersebut dan ini sekaligus membuktikan bahawa perpaduan kaum dan agama di negara ini begitu kukuh,” ujarnya.

Beliau berharap agar program ini dapat diteruskan dengan menyasarkan kelompok lain seperti rumah anak-anak yatim, rumah kebajikan dan sebagainya.

Bagi Guru Besar SK Abang Abdul Kadir Abang Nurfuad Abang Nurol menyambut baik usaha KV Betong kerana memilih sekolahnya sebagai lokasi program ini.

MERIAH … Suasana sekitar program street iftar 5.0 di perkarangan Tasik Medan, baru-baru ini.

“Saya sangat terharu kerana program ini julung kalinya dianjurkan di sekolah ini.

“Terima kasih atas inisiatif untuk memberi sumbangan kepada murid-murid kategori miskin di sekolah ini.

“Insha-Allah ini menjadi langkah pertama kepada jalinan erat antara SK Abang Abdul Kadir dengan KV Betong pada masa akan datang,” jelasnya.

Program street iftar 5.0 dan khidmat masyarakat KV Betong bertujuan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar melalui amalan bersedekah dan memberi pengalaman kepada warga kolej yang bukan beragama Islam merasai suasana berbuka puasa.

Selain itu memperkasa dan mengasah aspek kepimpinan, pengurusan, komunikasi di samping mewujudkan jalinan kerjasama antara badan penganjur yang terlibat.

Dalam pada itu nemberi peluang kepada komuniti setempat untuk mengenali KV Betong melalui aktiviti outreach.

KV juga ingin mendedahkan cara pengendalian gerai dan proses jual beli di Bazar Ramadan kepada pelajarnya selaras dengan konsep School Enterprise di kolej secara teoritikal.

SEDEKAH … Sekitar penyerahan juadah berbuka puasa kepada komuniti setempat.

 

SEDEKAH … Sekitar penyerahan juadah berbuka puasa kepada komuniti setempat.

 

KENALI KAMI … Salah seorang pelajar menyerahkan risalah tentang KV Betong.

 

JALIN KERJASAMA … Lim Ah Juan dan Abang Nurfuad serta semua yang terlibat bergambar kenangan bersama murid SK Abang Abdul Kadir pada program yang sama.

 

AKTIF SELALU … PRS KV Betong mengendalikan slot energizer ceria Ramadan bersama murid-murid SK Abang Abdul Kadir.

Suara Sarawak