KWSP perlu berwaspada

KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu menetapkan kriteria dan bukannya syarat yang membenarkan ahli mereka mengakses simpanan Akaun 1, tanpa menjejaskan persaraan mereka pada masa hadapan.

Penganalisis ekonomi Datuk Dr Madeline Berma berkata, KWSP merupakan satu skim yang dilancarkan oleh kerajaan untuk membantu pekerja mencarum wang simpanan pada hari tua mereka.

“Negara kini berada dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19. “KWSP sebagai dana simpanan jangka masa panjang dengan pelaburan di seluruh dunia, maka KWSP perlu berwaspada dalam membuat sebarang keputusan,” katanya yang dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurutnya, simpanan dalam Akaun 1 iaitu 70 peratus daripada simpanan ditetapkan untuk persaraan ahli, manakala simpanan dalam Akaun 2 iaitu 30 peratus daripada simpanan pula diperuntukkan bagi pengeluaran tertentu sahaja.

“KWSP juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara melalui pegangan bon kerajaan, bon korporat dan pasaran ekuiti. “Sehubungan itu, KWSP perlu mengurus simpanan dan pelaburan dengan cekap dan berhemah untuk terus menyokong usaha kerajaan melindungi rakyat dan pembangunan negara,” jelasnya yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sarawak.

Terdahulu, KWSP menetapkan beberapa syarat kepada pencarum. Hanya mereka yang kehilangan pekerjaan dan pengurangan gaji sahaja dibenarkan untuk mengeluarkan Akaun 1.

Kenyataan tersebut mengundang bantahan dalam kalangan rakyat, khususnya di media sosial yang mahukan pengeluaran i-Sinar, dibuka kepada semua ahli.

Suara Sarawak