ARTIKEL

KWSP talian hayat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAGI pekerja swasta, sebahagian penjawat awam dan mereka yang bekerja sendiri yang mencarum, wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah talian hayat selepas bersara. 

Bagi sebahagian besar yang sudah bersara dan tidak bekerja, mereka tidak mempunyai sumber kewangan lain melainkan daripada KWSP.

Maksudnya, KWSP ialah satu-satunya sumber untuk meneruskan kehidupan selepas tidak lagi bekerja. 

Bagi yang mempunyai anak yang bekerja, kemungkinan juga mereka mendapat wang bulanan yang diberi oleh anak-anak.

Itu pun kalau anak-anak mempunyai pendapatan tetap dan mencukupi untuk menampung keperluan hidup zaman sekarang.  

Cadangan supaya kadar caruman KWSP daripada pihak majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke bawah ketika ini menerima pelbagai reaksi.

Majikan kelihatannya tidak memberi reaksi positif terhadap cadangan itu. 

Hal ini dapat difahami.

Yang jelas cadangan itu yang kelihatan baik di permukaan pasti membebankan majikan dan menjejaskan ekonomi negara.

Seyogia diingatkan, sebelum ini, majikan terpaksa menaikkan gaji minimum RM1,500 kepada pekerja.

Kenaikan itu bagi sebahagian majikan, terutama mereka yang terbabit dalam Industri Kecil dan Sederhana (SME) sudah memberi kesan besar dari segi tekanan kewangan. 

Kalaulah kadar caruman KWSP dinaikkan, pasti ini akan memberi kesan langsung kepada kewangan syarikat terbabit. Harus diingat, SME menyumbang kepada 40 peratus daripada tenaga kerja di negara ini.

Bayangkan kesannya jika syarikat terbabit terpaksa menanggung kos tambahan susulan dasar baharu itu.

Pasti tidak banyak majikan akan bersetuju dengan langkah untuk menaikkan peratusan caruman di pihak mereka. Cadangan itu memang baik untuk pekerja pada jangka panjang dari segi tabungan masa depan. 

Semakin banyak wang disalurkan ke KWSP, semakin baik untuk menjamin masa depan pekerja selepas bersara.

Kita terlalu banyak bermain politik berkaitan dengan KWSP sehingga membenarkan terlalu banyak pengeluaran ketika negara dilanda COVID-19.

Kita seolaholah lupa akan implikasi dan kesan jangka panjang terhadap pekerja. Bukan tidak ada pekerja yang mengeluarkan caruman mereka kerana ada kesempatan walaupun mereka tidak pun dalam keadaan terdesak. 

Persoalannya, adakah cadangan ini tercetus selepas menyedari bahawa sebahagian besar pencarum mempunyai jumlah simpanan kurang daripada RM10,000?

Betapa tidak, 6.62 juta pencarum KWSP, atau 52 peratus daripada pencarum berusia bawah 55 tahun, mempunyai kurang daripada RM10,000.

Bagi pekerja, mampukah mereka menaikkan sumbangan ketika sebahagian besar mereka juga berdepan kos sara hidup dan inflasi yang mencengkam? 

Hakikatnya, majikan akan berdepan dengan kenaikan kos operasi kerana perlu memberi sumbangan juga kepada KWSP. Jadi, adakah ini langkah yang tepat?

Sebab, sebarang kenaikan peratusan dari segi sumbangan pekerja dan majikan untuk KWSP pasti akan memberi kesan besar kepada kewangan syarikat dan ekonomi negara.

Mampukah syarikat terbabit menyediakan wang tambahan setiap bulan sedangkan pendapatan tidak meningkat?

Jika tidak, apakah jalan keluarnya? Kos operasi akan turut meningkat, dan kenaikan tersebut tentu memberi kesan buruk kepada syarikat dan perniagaan.

Sudah tentu kenaikan kos operasi akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga barangan yang dikeluarkan dinaikkan.

Akhirnya yang menanggung beban ialah pengguna, dan ini menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dan kos sara hidup — sesuatu yang sebenarnya cuba kita elakkan.

Sementara pentingnya bagi mana-mana majikan untuk menjaga kebajikan pekerja, perlu diingat, nasib majikan juga perlu dilindungi.

Jika syarikat terpaksa menanggung kos tinggi dan tidak merekodkan keuntungan, perkara ini tentu akan memberi kesan kepada syarikat dan ekonomi negara. 

Kini pun syarikat bergelut bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan, termasuk membayar gaji dan caruman KWSP pekerja.

Mungkin majikan tiada pilihan.

Majikan terpaksa memindahkan sebarang kos kepada pengguna dan pembeli perkhidmatan atau produk yang dihasilkan.

Kesudahannya, negara kita tidak lagi mampu berdaya saing.

Negara mana yang akan berminat untuk melabur di negara ini jika mereka tahu bahawa kos operasi adalah tinggi?

Pelabur asing tentu tidak lagi beminat melabur di negara ini.

Jangan sampai yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.

Sebarang keputusan sepenting ini perlu difikirkan dengan mendalam. 

Sebarang pembaharuan yang hendak diperkenalkan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak.

Bukan tidak ada dasar yang diubah sebelum ini, mendatangkan lebih banyak kesan negatif daripada positif.

Biarlah sebarang perubahan yang diperkenalkan betul-betul mendatangkan kebaikan.

Ambil kira semua faktor dan kesannya terhadap semua pemegang taruh; dan bukannya hanya melihat kesan positif kepada satu pihak semata-mata.

Tentu ada formula lain yang lebih munasabah yang menguntungkan pekerja dan majikan.

Jangan sampai kita mengambil jalan singkat untuk memastikan jumlah tabungan pekerja dapat ditambah.

Kerajaan perlu juga bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan pihak SME demi kepentingan jangka panjang dan masa depan negara.

Segala langkah perlu diambil untuk menarik para pelabur asing.

Kerajaan juga perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang memungkinkan pekerja meraih pendapatan tinggi.

Kita perlu mengelak daripada terus terperangkap dalam jaringan atau lingkaran pendapatan menengah.

Kita perlu mengelak memperkenalkan sebarang langkah yang akhirnya akan membebankan majikan dan menjejaskan ekonomi negara.

Kita perlu berfikir panjang dan mengambil kira banyak faktor sebelum melaksanakan dasar baharu ini.

Jangan sampai kita perkenalkan satu langkah untuk mengatasi satu masalah yang kemudiannya menimbulkan masalah lain yang lebih besar kepada syarikat, majikan dan negara.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU