ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

Labuan IBFC Inc meterai MoU dengan CRISU Indonesia untuk program latihan praktikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LABUAN: Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd (Labuan IBFC Inc), bahagian pemasaran untuk Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Rektor Universiti Indonesia (CRISU) bagi memudahkan program latihan praktikal untuk pelajar-pelajar universiti Indonesia.

MoU yang tidak terikat itu ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Labuan IBFC Inc Datuk Iskandar Mohd Nuli dan Naib Setiausaha Agung CRISU Profesor Herman Fithra, yang mewakili Pengerusi CRISU Profesor Ganefri.

Iskandar berkata MoU itu mencerminkan komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan objektif bersama bagi mengembangkan kumpulan bakat dan memperkenalkan perspektif baharu, idea-idea yang inovatif dan pengalaman penyelidikan dalam industri di Labuan.

Beliau menekankan inisiatif itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026, yang menumpukan kepada menggalakkan keterlihatan dan kemudahan pasaran.

“Perkongsian strategik ini akan memperkayakan bank bakat industri untuk pengambilan oleh perniagaan di Labuan, membolehkan mereka memanfaatkan pengetahuan tempatan dan pandangan tentang pasaran Indonesia, sekali gus memupuk aktiviti pembangunan pasaran selanjutnya,” kata Iskandar pada majlis menandatangani MoU di sini, semalam.

Baca lain  Naim Gamuda beri lebih 1,200 peluang kerja di Sri Aman

Iskandar berkata kerjasama di antara pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia dengan universiti Indonesia dalam mempromosikan pemahaman yang lebih baik tentang penyelesaian dan penawaran Labuan IBFC akan membantu memudahkan penyebaran maklumat yang tepat.

Beliau berkata Labuan IBFC boleh berfungsi sebagai platform untuk universiti Indonesia memperkenalkan penyelesaian kewangan termaju, sekali gus menggalakkan pertumbuhan sektor kewangan Islam, teknologi kewangan dan pengurusan kekayaan.

Sementara itu, Pengerusi CRISU Ganefri dalam ucapannya yang dibacakan oleh Herman Fithra menyatakan keyakinannya mengenai kerjasama berkenaan, yang berpotensi untuk mendedahkan pelajar kepada perniagaan IBFC Labuan dan meningkatkan pemahaman mereka tentang hubungan di antara perusahaan domestik dan luar pesisir.

Beliau berkata pelajar akan mendapat manfaat daripada pengalaman budaya kerja di firma-firma global, yang boleh membuka peluang pekerjaan di masa depan. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU