Trending

Labur dalam ladang kelapa sawit S’wak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUALA LUMPUR: Bright Packaging Industry Bhd memeterai perjanjian usaha sama baharu dengan Datai Plantations Sdn Bhd (DPSB) bagi mempelbagaikan dan meningkatkan pelaburannya dalam ladang kelapa sawit di kawasan yang terletak di Sarikei, Sarawak dengan pelaburan berjumlah RM5.30 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata perjanjian itu juga menggantikan perjanjian usaha sama antara kedua-dua pihak sebelum ini yang bertarikh 19 Ogos 2021.

Ia berkata pelaburan oleh Bright Packaging itu digunakan oleh DPSB untuk membina infrastruktur yang diperlukan seperti jalan masuk, jalan-jalan lain, jambatan dan asrama pekerja serta memperbaiki pengurusan air termasuk pembinaan benteng dan pintu air.

Projek ini merujuk kepada pembangunan ladang kelapa sawit dengan kemudahan dan penyediaan perkhidmatan sampingan kepada ladang tersebut termasuk kilang kelapa sawit di atas tanah yang terletak di Loba Bunut, Bintangor, Bahagian Sarikei, seluas kira-kira 1,921 hektar.

“Jumlah kawasan dapat ditanam untuk tujuan penanaman kelapa sawit dianggarkan seluas 1,152.6 hektar diusahakan oleh Datai Pelita Bintangor Sdn Bhd, sebuah syarikat 60 peratus milik DPSB,” kata kumpulan itu.

Berkenaan pelaburan itu, Bright Packaging berkata jumlah itu berdasarkan nilai pasaran projek berjumlah RM41 juta dan jangkaan kadar pulangan dalaman ialah lapan peratus, manakala pulangan mutlak dijangka RM11.57 juta.

“Bright Packaging berhasrat untuk terus melabur dan dalam masa terdekat berpotensi untuk mempelbagaikan perniagaannya dalam bidang perladangan kelapa sawit bagi memperoleh pendapatan masa depan yang mampan dengan bantuan DPSB yang mampu menyediakan kepakaran teknikal, komersial dan pengurusan dalam industri berkaitan,” katanya.

Di samping itu, ia berkata usaha sama itu mungkin mengurangkan pergantungan kumpulan terhadap perniagaan pembuatan kerajang aluminium yang semakin kompetitif, dan tertakluk kepada turun naik bahan mentah utamanya serta turun naik dalam kadar pertukaran asing.

“Lembaga pengarah percaya bahawa usaha sama itu berpotensi menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Bright Packaging,” katanya.

Ia berkata kumpulan itu kekal optimistik terhadap prospek jangka panjang industri minyak sawit.

“Populasi global dan pertumbuhan pendapatan per kapita serta kualiti kesihatan minyak sawit yang banyak dijangka memacu permintaan yang lebih besar untuk produk sawit,” katanya.- Bernama

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru