Lagi kanak-kanak positif Covid-19 di Sarawak

KUCHING: Lagi seorang kanak-kanak berusia setahun antara 16 kes positif Covid-19 yang dicatatkan di Sarawak hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kanak-kanak itu merupakan jangkitan tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19.
“Terdapat 16 kes positif Covid-19 di Sarawak dengan 10 daripadanya di Kuching, empat kes di Miri serta masing-masing satu di Samarahan dan Julau yang menjadikan kes keseluruhannya meningka kepada 1,196 kes.
“Di Kuching, enam merupakan jangkitan tempatan iaitu saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 manakala empat lagi adalah kes import bagi saringan individu balik dari kawasan berisiko jangkitan Covid-19 apabila turut melibatkan dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiga daripada empat kes di Miri adalah jangkitan tempatan iaitu saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 sementara satu lagi adalah kes import C iaitu saringan sebelum melakukan perjalanan ke Labua apabila mempunyai sejarah perjalanan ke Semenanjung Malaysia.
“Kes positif Covid-19 di Samarahan adalah jangkitan tempatan apabila melakukan saringan sebelum melakukan perjalanan ke luar negara manakala di Julau merupakan kes import-B melibatkan saringan individu yang balik dari kawasan berisiko jangkitan,” ujarnya.

Suara Sarawak