Lagi pembalakan haram dibanteras oleh JHS dan PGA

KAPIT: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bersama-sama Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas seunit jentolak dan jengkaut dan 46 batang kayu balak haram pelbagai saiz dan jenis di kawasan Sungai Sut, di sini pada 3 November lalu.

Rampasan ini dilakukan setelah mendapati aktiviti pembalakan yang dijalankan tanpa lesen.

“Ini merupakan kesalahan hutan dibawah Seksyen 96, Ordinan Hutan 2015.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali dan sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan berulang akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM150,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” kata JHS dalam satu kenyataan hari ini.

Rampasan mesin dan kayu balak ini dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan secara berterusan oleh kakitangan penguatkuasa JHS bagi membanteras aktiviti pembalakan haram di kawasan Kapit.

“Semua kayu yang dirampas dianggarkan bernilai RM10,000 berdasar nilai royalti kayu balak dan mesin-mesin dianggarkan bernilai RM95,000.

“Kesemua barang kes seperti mesin dan kayu balak telah diletakkan dibawah jagaan JHS dan siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

Selaras dengan fungsi dan tanggungjawab JHS dalam menjaga dan memelihara hutan, pihaknya akan mempergiat dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan melalui operasi darat, sungai dan udara secara berterusan bagi membenteras segala aktiviti pembalakan haram di kawasan hutan negeri ini secara amnya.

Tindakan keras dibawah peruntukkan Ordinan Hutsn, 2015 akan dikenakan terhadap sebarang individu atau organisasi yang didapati bersalah menjalankan aktiviti pembalakan haram. Ini adalah untuk memastikan penjagaan dan pemeliharaan hutan negeri Sarawak dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya.

JHS menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai segala kegiatan pembalakan haram yang berlaku di mana-mana kawasan hutan negeri. Ini membolehkan JHS mengambil tidakan terhadap kegiatan tersebut. Maklumat boleh disalurkan melalui talikhidmat Kerajaan Negeri Sarawak pada talian hotline 1-800-88-7777 atau email www.forestry.gov.my