Lagi penagih dadah Bau tumpas

BAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati membawa dadah jenis syabu ketika diperiksa polis di sebuah pondok kayu Jalan Gua Angin, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek, 23, dikesan dalam keadaan mencurigakan di lokasi semasa serbuan dijalankan sekitar jam 11.30 pagi.
Menurutnya pemeriksaan awal oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Dadah di sekitar pondok tidak menemui sebarang bahan-bahan terlarang sehinggalah pemeriksaan lanjut terhadap tubuh badan suspek dilakukan.
“Sepeket plastik kecil lut sinar berisi bahan kristal jernih disyaki syabu seberat 0.68 gram dijumpai di dalam poket seluar pendek suspek.
“Suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine hasil keputusan ujian saringan awal air kencing,” katanya dalam satu kemyataan hari ini.
Tambahnya semakan rekod polis turut mengesahkan suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Sehubungan itu tegasnya suspek kini ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ujar Poge jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

. SUSPEK…Suspek kini telah ditahan untuk tindakan siasatan lanjut.

 
SYABU…0.68 gram syabu yang dibawa oleh suspek dianggarkan bernilai RM100.

Suara Sarawak