Lagi penjejakan kontak di 10 rumah panjang di Kanowit

KANOWIT: Susulan daerah ini diisytiharkan zon merah semalam oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Pejabat Kesihatan Daerah Kanowit dan Hospital Kanowit digesa untuk bekerja lebih gigih lagi bagi mengesan mereka yang disyaki menjadi kontak rapat pesakit positif Covid-19 di sini.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pada masa ini proses pengesanan kontak sangat penting setelah kes Covid-19 dikesan di hampir 10 rumah panjang di sini.
“Saya telah memberitahu mereka jika kita dapat mengesan mereka yang disyaki menjadi kontak rapat dengan pesakit, kita dapat segera menempatkan mereka di bawah kuarantin untuk mengelakkan virus itu merebak dengan lebih jauh lagi.
“Seperti yang kita sedia maklum, virus memerlukan badan manusia untuk merebak. Ia akan mati dengan sendirinya jika gagal mencari orang baharu setelah 14 hari,” katanya sebentar tadi.
Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit mengatakan bahawa selain rumah panjang, kes positif Covid-19 juga turut dikesan di salah sebuah sekolah menengah di sini, bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.
Kes pertama positif Covid-19 dikesan di sini pada 12 Januari lalu dengan 12 kes di mana semuanya berkaitan dengan Kluster Pasai yang diumumkan pada 9 Januari lalu.
Semalam, Kanowit telah mencatatkan sebanyak 43 kes Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 77 kes yang membabitkan jangkitan Kluster Pasai.
Dengan 77 kes itu, menjadikan daerah Kanowit melonjak ke zon merah dalam masa kurang 14 hari.
Ahli Parlimen Kanowit itu menyifatkan kes COVID-19 di Kanowit sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
“Ini sangat menyedihkan kerana kita dapat melihat bagaimana virus itu merebak dengan cepat ke seluruh daerah hanya kerana satu atau dua individu pergi ke Pasai untuk menghadiri upacara pengebumian dari 29 hingga 31 Disember lalu di Rumah Langi Ambau, Pasai Siong di Sibu.
“Situasi ini sangat membimbangkan. Saya menghubungi pejabat daerah, Hospital Kanowit, Pejabat Kesihatan Daerah Kanowit, pemimpin tempatan dan pentadbiran sekolah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan di Kanowit.
“Saya harap tidak akan ada generasi kedua daripada kes ini di bawah Kluster Pasai,” tegasnya.
Beliau menambah pihak berkuasa juga telah membuat sekatan pergerakan di rumah-rumah panjang di mana kes Covid-19 dikesan.
Beliau kemudian menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19 pertama daripada Kluster Pasai pada 18 Januari lalu.
Mangsa berusia 55 tahun berasal dari Rantau Kemiding, Kanowit, tambah Aaron.
Sementara itu, sebuah rumah panjang di Kanowit iaitu Rumah Taboh Rimau di Nanga Ngungun telah mengadakan upacara khas tolak bala Covid-19 ini.
Menurut sumber dari rumah panjang tersebut, upacara itu dikendalikan oleh Tuai Rumah Taboh dengan dua upacara iaitu ‘Nyukur’ dan sembahyang khas mengikut agama Kristian.
“Memandangkan rumah panjang kami mempunyai dua kepercayaan, maka upacara ‘Nyukur’ dan mengikut adat Kristian telah dijalankan di halaman rumah panjang mengikut SOP yang telah digariskan sebelum ini.
“Kedua-dua upacara ini adalah bertujuan memohon keberkatan dan pertolongan dari Yang Maha Berkuasa agar kami dapat dilindungi daripada segala malapetaka Covid-19 ini.
“Begitu juga diseluruh negara, dunia kami pohonkan Covid-19 ini dapat dihapuskan dengan segera,” kata sumber itu lagi sambil menyatakan kebimbangan mereka terdapat situasi Covid-19 di daerah ini.

Suara Sarawak