ARTIKEL

Lagu Hari Raya versi gendang ‘urumi’ tular

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Sekadar mahu meredakan ‘ketegangan perkauman’ di media sosial, sekumpulan anak muda dari Kumpulan Sai Naga Urumi Melam, tampil mencipta kelainan dengan mendendangkan lagu Suasana Hari Raya dan Seloka Hari Raya, menerusi rentak gendang ‘urumi’.

Tidak disangka percubaan pertama yang dihasilkan menerusi dua video TikTok itu, berjaya menambat hati rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu, yang baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri sehinggakan ada yang mahu mendapatkan khidmat mereka bagi majlis rumah terbuka.

Bercakap kepada Bernama, pemain ‘thavil’ (gendang) dalam video berkenaan M. Logeswaran, 22, berkata idea menghasilkan video itu timbul setelah melihat isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi raja (3R) semakin menjadi-jadi di laman sosial.

“Jadi Kumpulan Sai Naga Urumi Melam fikir, kita kena buat sesuatu sebab bosan tengok berita provokatif hari-hari, dengan Hari Raya dah dekat, kami fikir bahawa muzik boleh hubungkan kita semua,” katanya.

Urumi atau urumi melam, merupakan seni pergendangan India yang menggunakan lebih daripada satu gendang dan melibatkan sekurang-kurangnya lima orang atau lebih, untuk menghasilkan kombinasi dan alunan muzik yang kuat.

Ia biasanya dipersembahkan di kuil sebagai muzik sampingan bagi upacara keagamaan, adat perkahwinan atau meraikan sesuatu sambutan tradisional dan antara peralatan yang digunakan ialah ‘thavil’, ‘urumi’, ‘pambai’ dan ‘thalam’.

Logeswaran yang berasal dari Kajang berkata biarpun video tersebut hanya berdurasi lebih seminit, namun proses rakamannya amat panjang sehinggakan memakan masa lebih lima jam.

“Kami mula rakaman pada 2 pagi, tak ingat berapa kali kami mencuba untuk mendapatkan hasilnya, ada kala penyanyinya N.Lachman terlepas lirik, ada yang terlepas rentak muzik, ada bunyi deruman kereta yang memerlukan kami ulang proses rakaman, tapi hasilnya kini berbaloi,” jelas pemuda itu.

Sehingga kini, dua video tersebut telah tular di pelbagai platform media sosial melibatkan lebih 30,000 perkongsian dan menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat berbilang kaum, tidak ketinggalan ramai yang meninggalkan komen membina dan positif buat usaha anak-anak muda berkenaan.

Pengguna Facebook Norma Ab Talib berkata “Terima kasih adik-adik semua. Usaha yang baik untuk memupuk semangat perpaduan, sangat menghargainya. Kita semua rakyat Malaysia”.

Seorang pengguna TikTok mohammadfazli282 berkata “politik biarkan dengan politik, kita semua rakyat Malaysia, tak kira apa bangsa dan agama, kita tetap satu Malaysia, saling hormat menghormati, terbaik bro!”.– BERNAMA

BERITA LAIN

Polis siasat wanita dakwa diri Imam Mahdi

KUANTAN, Pahang: Polis sedang menyiasat seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi seperti tular di media sosial sejak semalam. Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)