KERAJAAN Sarawak terus komited menangani isu kemiskinan tegar terutamanya di kawasan luar bandar dengan memperkenalkan pelbagai usaha demi kepentingan rakyat.
Penganalisis Ekonomi Datuk Dr Madeline Berma berkata, sebelum ini Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM216 juta bagi melaksanakan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang dilihat mampu merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar bagi mengurangkan kadar kemiskinan.
Jelasnya, ia usaha kerajaan membasmi kemiskinan turut memberi penekanan kepada pembangunan pertanian, khasnya pertanian yang menggunakan teknologi.
“Dalam usaha Kerajaan Sarawak menerapkan pertanian moden supaya selaras dengan Revolusi Industri 4.0, tidak dilupakan diberikan tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan kemahiran adalah perkara yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak juga komited membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya ketika mereka terjejas akibat Covid-19.
Tambah beliau, ramai penduduk di negara ini, khasnya rakyat Sarawak terlibat dalam PKS dan mereka ini secara amnya juga menjadi penyumbang utama dalam sektor pekerjaan, sekali gus memberi hasil untuk negeri.
“Semasa PKP, banyak PKS yang terpaksa ditutup, mengalami kehilangan perniagaan, kerugian dan bankrap.
Justeru geran yang diberikan dan moratorium yang dilaksanakan sangat membantu PKS untuk membuat semula dan pulih ketika ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak merekodkan kadar kemiskinan ketiga tertinggi dalam Malaysia pada tahun 2019, iaitu sembilan peratus berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.
Perkara itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila menyatakan bahawa statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sehingga 15 Jun 2022, terdapat 44,870 KIR miskin tegar di Sarawak, iaitu yang tertinggi berbanding negeri lain.