Lahir pereka perabot antarabangsa

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) terus komited untuk melahirkan lebih ramai pereka muda yang dapat menghasilkan reka bentuk perabot bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.

Pengurus Besar Pusaka Hashim Bojet berkata, usaha itu akan dipergiatkan lagi sejajar dengan hasil kejayaan yang ditunjukkan oleh enam pereka muda Sarawak di peringkat antarabangsa baru-baru ini.

“Pada 2019, Pusaka berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dengan mewujudkan kumpulan pereka muda hasil kolobarasi Pusaka dengan Institut Teknologi Bandung (ITB) dan juga Unimas. “Kita sangat bangga dengan pencapaian keenam-enam pereka muda kita yang berjaya menyertai pameran di peringkat antarabangsa iaitu di Milan pada bulan April depan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian setelah selesainya Pertandingan Persahabatan 10 pin boling Pusaka – Media di Riverside Superbowl Kuching semalam.

Menurutnya, Pusaka menyasarkan 100 pereka muda pada masa akan datang untuk membantu industri perabot di Sarawak.

“Usaha ini juga turut mendapat sokongan Ketua Menteri kerana melihat banyak peluang dalam membangunkan lebih banyak pereka muda di Sarawak. “Kita akan terus memantapkan lagi kerjasama bersama-sama ITB untuk penambahbaikan pada masa akan datang dengan memperkenalkan Diploma lanjutan Reka Bentuk Perindustrian (IDIT) di ITB,” jelas Hashim.

Pusaka turut mempunyai beberapa cadangan dalam industri perkayuan iaitu memperkenalkan kejuruteraan kayu yang kini diusahakan dengan kerjasama sebuah syarikat di Johor yang turut dimiliki oleh anak Sarawak sendiri.

“Satu usaha telah kita laksanakan ke arah cadangan ini apabila kita telah membuat R&D untuk projek ini bersama-sama dengan syarikat tersebut,”katanya.

Pusaka juga sedang mempromosi produk berasaskan buluh.