Trending

Lahir usahawan mahir pemasaran digital

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

    KUCHING: Sarawak giat melaksanakan pelbagai inisiatif serta program untuk melahirkan usahawan baharu yang berdaya saing dalam bidang pertanian dan industri makanan melalui pendigitalan pemasaran.

    Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia bagi membantu mencapai sasaran menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 yang dipacu oleh ekonomi digital.

    “Melalui usaha ini juga, keselamatan dan keterjaminan makanan dapat diperkukuhkan sekali gus memperkasa industri perniagaan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat khususnya golongan muda.

    “Malah, sejajar dengan perkembagan teknologi terkini dan produk inovasi, banyak barangan tempatan Sarawak berpotensi untuk dikomersialkan sehingga ke luar negara dengan adanya platform pemasaran digital,” katanya.

    ADUN Pantai Damai itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Kursus Pembangunan Ejen Pemasar ‘New Breed Marketing Entrepreneur (NBME)’ Peringkat Sarawak anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di CENTEXS Cawangan Santubong, hari ini.

    Justeru katanya, program yang disertai seramai 186 pelajar CENTEXS itu amat bertepatan dalam usaha melahirkan minat golongan muda menjadi usahawan moden yang berteraskan platform ekonomi digital, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup.

    “Ia juga bertujuan melahirkan usahawan baharu yang menjalankan perniagaan berkonsepkan jualan semula atau orang tengah (dropship) melalui produk usahawan-usahawan yang berada dalam platform dalam talian Agrobazaar.

    “Para peserta juga akan mempelajari teknik dan kaedah perdagangan serta pembangunan komuniti melalui program ini, yang secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai seorang yang berkerjaya dan berpendapatan walaupun masih belum menamatkan pengajian,” ujarnya.

    Tambahnya, dari 2021 hingga Jun lalu, seramai 10,649 orang pelajar di seluruh negara telah dilatih dalam program tersebut dan berjaya melahirkan seramai 685 usahawan baharu dengan nilai jualan sebanyak RM15.6 juta.

    Hadir sama Pengarah FAMA Sarawak Ramli Mat Sani.

    : Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi melihat produk keluaran usahawan FAMA.

    Suka artikel:

    e-Akhbar Suara Sarawak

    Berita Berkaitan

    E-Paper

    22 September 2023

    Berita Terbaru