Lahirkan ahli parlimen muda arif berdebat

SAMARAHAN: Peserta debat harus menguasai bahasa lain, selain bahasa Malaysia bagi menghadapi cabaran masa depan. Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar berkata, mereka sentiasa berhasrat melahirkan ahli parlimen muda yang arif tentang perdebatan untuk mewakili negeri dan negara.

“Namun, mereka perlu menguasai lebih daripada satu bahasa. “Sekiranya perdebatan dalam bahasa Inggeris seperti di BangsaBangsa Bersatu, kita boleh bercakap menggunakan bahasa ibunda … terjemahan akan disediakan. Bagaimanapun, perdebatan menjadi kurang berkesan apabila diterjemah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Debat Terbuka Kemanusiaan (Detak 2020 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Unimas di sini, semalam. Asfia turut memuji Peserta Detak 2020 kerana menunjukkan piawaian dan kualiti yang tinggi sepanjang peringkat akhir pertandingan.

“Apabila saya melihat perdebatan, mereka telah menunjukkan mereka seorang pedebat, suara yang lantang dan kebolehan bercakap dengan hebat. “Ini mengingatkan saya ketika berdebat di Universiti Leeds England dahulu,” jelasnya.

Sebanyak 32 pasukan 18 institusi pengajian tinggi tempatan mengambil bahagian dalam debat tersebut. Pertandingan debat gaya Parlimen British diadakan dari 21 hingga 24 Febuari itu merupakan debat yang julung kali diadakan di Unimas.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Kelab De’Orator Unimas, sebuah kelab pengucapan awam untuk pelajar Unimas, dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum), Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Syarikat Incredible Heart Plt. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul johan setelah mengalahkan tiga lagi universiti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Shah Alam dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Melalui pertandingan itu, Unimas berjaya mengumpul dana sebanyak RM7,000 untuk disumbangkan kepada Misi Bantuan Gandum Buat Syria yang diuruskan oleh IRM. Turut hadir Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Antarabangsa) Unimas Prof Dr Kamarudin Kana dan Ketua Pegawai Eksekutif IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin.

Suara Sarawak