KUCHING: Sasaran untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan merupakan perkara yang sering ditekankan dalam agenda pembangunan pendidikan masyarakat Islam di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia sentiasa dibincangkan untuk memastikan anak muda Islam dapat memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Apabila melibatkan pelajar Islam, kita mahu melahirkan seramai boleh bijak pandai untuk menjadi antara peneraju pada masa akan datang khususnya dalam sektor baharu yang sedang dibangunkan.
“Justeru, kita perlu memastikan bahawa pelajar kita dilengkapi dengan ilmu secukupnya, seiring dengan keperluan menuju ke arah negeri yang membangun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Peperiksaan Awam SPM dan STAM di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar cendekiawan yang dilahirkan kelak dapat tampil sebagai salah seorang panel yang bercakap dalam sesebuah persidangan, simposium, kolokium dan sebagainya.
“Kita mahu saksikan anak muda Islam berdiri berbicara di hadapan orang ramai untuk berkongsikan ilmu dalam pelbagai bidang.
“Inilah gambaran yang kita mahu lahirkan. Kita mahu pastikan ada ilmuan Islam dalam semua sektor tidak kira aspek pembangunan negeri atau masyarakat,” katanya.
