Pembantu pergigian maut dalam nahas jalan raya

Lakaran pensel Nur Dinie memukau

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

BAKAT dalam melukis lukisan animasi cukup mengagumkan walaupun baru berusia 12 tahun.

Meskipun hanya menggunakan pensel, hasil karya Nur Dinie Qistiena Herman, dari Kampung Seberang, Sarikei mampu memukau sesiapa sahaja yang memandangnya.

Anak bongsu daripada enam beradik ini mula berjinak-jinak melukis kartun animasi sejak berusia lapan tahun, bermula sekadar suka-suka untuk mengisi masa terluangnya.

Nur Dinie berkata, minatnya lebih menjurus ke arah kartun animasi Jepun kerana mengagumi watak-watak kartun ciptaan pelukis negara matahari terbit itu.

“Saya cukup tertarik dengan watak-watak itu sehingga mendorong untuk cuba melakarnya sendiri.

Bagi saya, Jepun mempunyai seninya yang tersendiri.

Sebahagiannya mungkin nampak biasa tetapi bagi seseorang yang meminati kartun animasi, ia sebenarnya ada tarikan dan keunikan.

“Kebanyakan kartun animasi itu menampilkan sesuatu yang sungguh luar biasa.

Watak-wataknya pula penuh dengan kuasa dan dilukis mengikut daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi,” katanya.

Menjadikan Haikyuu dan Jujutsu Kaisen sebagai idola, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sarikei ini mengakui, dia hanya melukis sekadar sukasuka untuk mengisi masa terluang terutama selepas tamat sekolah.

Oleh kerana sering melukis, lukisannya yang bermula daripada sekadar contengan, kemudian berkembang menjadi bentuk yang lebih sempurna dan kini menjadi sebahagian daripada koleksi penting dalam hidupnya.

Menurutnya, kebiasaannya dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan lukisannya namun bergantung kepada suasana dan kelapangan waktu.

“Saya melukis bermula daripada lakaran biasa, sebelum membuat garisan seni.

Selepas puas hati, saya akan mewarnakannya mengikut warna-warna yang bersesuaian. Kesemua lukisan dilukis
menggunakan pensel,” katanya.

Dia berkata, disebabkan kekangan waktu belajar, dia hanya melukis pada masa yang sesuai.

Tambahan pula katanya, penghasilan setiap kartun animasi memerlukan kreativiti tinggi walaupun sekadar lakaran untuk menyempurnakan rupa bentuknya agar lebih menarik dan unik.

Malah katanya, lukisan yang sempurna merupakan terapi terbaik untuk mengisi masa lapang dan menghilangkan tekanan.

“Setakat ini, semua lukisan saya hanya sekadar koleksi peribadi.

Saya hanya berkongsi minat. Lagipun saya masih baru dalam bidang ini dan ingin menimba ilmu untuk mendalaminya,” katanya.

Jauh di sudut hati, Nur Dinie menyimpan hasrat untuk menghasilkan kartun animasi sendiri suatu hari kelak dengan mengembangkan bakatnya melalui pelbagai platform bukan sekadar di atas kertas tetapi juga baju, selongsong telefon pintar, topi dan lain-lain lagi.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis dengan harapan untuk mampu mencipta watak animasi sendiri.

Bagaimanapun untuk ke arah itu bukan mudah, saya harus belajar bersungguh-sungguh agar impian itu menjadi kenyataan suatu hari nanti,” ujarnya mengakhiri bicara.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Biskut kami halal

KUCHING: “Biskut buatan tangan kami halal,” demikian kata Anchong Tan

E-Paper

27 Mac 2023

Berita Terbaru