Laluan lolos dikenal pasti, jalan ladang Pasai Siong akan disekat

SIBU: Polis mengenal pasti jalan ladang kelapa sawit di dalam kawasan Pasai Siong sebagai lokasi baharu sekatan jalan raya (SJR) di daerah Sibu.
Ketua Polis Daerah ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan ATM akan membantu pihak polis dalam sekatan kali ini.
“Ladang kelapa sawit berkenaan akan menjadi lokasi ketujuh SJR yang terdapat di daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.
Menurutnya, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahagian Sibu yang bermula 16 Januari lalu, sebanyak enam lokasi sekatan jalan raya dijalankan di daerah ini.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP.
Katanya, pematuhan itu sangat penting dalam usaha memutuskan penularan rantaian pandemik COVID-19.
“Orang ramai tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa sahaja, sebaliknya mereka harus memberikan sokongan dalam usaha memerangi pandemik berbahaya itu,” tambah beliau.
Pada Isnin lalu, Stanley turut mendedahkan beberapa penduduk rumah panjang telah meloloskan diri dari sekatan pergerakan dengan menggunakan jalan hutan.
“Mereka didapati meredah hutan yang meliputi kawasan ladang kelapa sawit selama tiga jam sebelum sampai ke jalan utama,” ujar beliau.

Suara Sarawak