ARTIKEL

Laluan masuk baharu bakal dibina ubah landskap Selangau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SELANGAU: Laluan masuk baharu bakal dibina dari Lebuh Raya Pan Borneo ke pekan Selangau, yang akan mengubah landskap serta ekonomi di kawasan berkenaan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia memandangkan laluan masuk yang ada sekarang tidak begitu sesuai kerana jaraknya yang agak jauh dari pekan Selangau.
“Selangau pernah menjadi kawasan rehat bagi orang yang melalui Sibu ke Bintulu, namun kenderaan tidak melalui pekan Selangau sejak siapnya Lebuh Raya Pan Borneo.

“Jika ini tidak diperbaiki, kenderaan tidak akan melalui Selangau dan dari sudut ekonomi akan sedikit terjejas.

“Sebab itu saya mencadangkan untuk membina laluan masuk baharu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Projek Rakyat Tebingan Sungai Selangau dan Bangunan Pejabat Daerah Selangau, di sini semalam.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat kajian bagi pembinaan laluan masuk baharu itu, dengan memberikan tempoh hingga 2025.

Selain itu, beliau berkata, dengan adanya laluan masuk baharu itu, ia membolehkan kerajaan membangunkan skim perumahan di kawasan berkenaan.

“Di bawah skim perumahan ini, kita akan menyediakan utiliti, jalan dan sistem perparitan dengan deposit RM10,000 secara percuma yang ditanggung oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Pada masa sama, katanya, dengan pekan Selangau menjadi tumpuan orang ramai, ia juga secara tidak langsung meningkatkan ekonomi penduduk di situ, yang terkenal dengan kopi.

“Kopi Selangau ada rasanya tersendiri dan orang pasti datang ke Selangau untuk minum kopi, maka ini menyumbang kepada ekonomi penduduk,” katanya.

Terdahulu, ADUN Tamin Christopher Gira dalam ucapannya berkata, selepas Lebuh Raya Pan Borneo siap baru-baru ini, pekan Selangau mengalami penurunan pengunjung berikutan lebuh raya yang memintas pekan itu.

“Bagi menarik pengguna jalan raya melawat Selangau, adalah penting pintu masuk dan keluar ke pekan ini dirancang dengan teliti.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan JKR Sarawak berhubung cadangan jalan masuk ke pekan itu, yang dianggarkan menelan kos RM2 juta.

“Justeru, saya mohon pertimbangan dan kelulusan peruntukan RM2 juta untuk tujuan tersebut,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai dan Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami.

LAIN-LAIN BERITA

SAR hari kelima, bayi 18 bulan belum ditemui

KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi lelaki berusia 18 bulan yang dikhuatiri terjatuh dalam sungai Kanowit di Nanga Germai di sini, Ahad lalu

BERITA TERBARU