Laluan masuk kampung ditutup

SEBUYAU: “Kami terpaksa tutup jalan masuk ke kampung bermula hari ini (semalam) demi keselamatan penduduk daripada ancaman Covid-19,” kata Ketua Kaum Kampung Sampat Sebangan Martasan Bujang.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan menutup laluan masuk ke kampung demi kesejahteraan semua.

“Penduduk setempat perlu memahami tindakan ini merupakan salah satu pendekatan kami dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” jelasnya ketika ditemui pada Selasa.

Martasan menambah, kawalan melibatkan jalan utama masuk ke kampung berkenaan bermula dari jam 7 pagi hingga 7 malam.

Ujarnya, seramai 21 petugas yang terdiri daripada anggota Rela dan penduduk kampung tersebut akan bertugas secara bergilir.

“Kami menutup laluan masuk ke kampung ini sehingga tamat tempoh pelaksanaan PKP iaitu pada 28 April depan,” katanya.

Suara Sarawak