Laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar di Sarawak, Sabah berdasarkan kriteria PSO

KUALA LUMPUR: Penetapan destinasi dan laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan kriteria Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata Akta 771 mentakrifkan PSO sebagai pengadaan suatu perkhidmatan bagi membawa melalui udara atau penggunaan mana-mana pesawat udara untuk membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah bagi suatu perjalanan berjadual di antara aerodrom yang tidak akan dibuat oleh syarikat penerbangan jika syarikat penerbangan itu hanya menimbangkan kepentingan komersialnya semata-mata.

“Kerajaan Malaysia telah menandatangani satu perjanjian baharu dengan syarikat penerbangan MASwings bagi meneruskan penyediaan operasi RAS di Sabah dan Sarawak untuk tempoh enam tahun iaitu bermula 2019 hingga 2024 yang merangkumi hasil rasionalisasi perkhidmatan ini selaras dengan kajian semula oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2017.

“Berdasarkan perjanjian baharu tersebut, MASwings perlu menyediakan perkhidmatan bagi 40 laluan berbanding 49 laluan sebelum ini di Sabah dan Sarawak dengan menggunakan pesawat ATR-72 dan Twin Otter Viking,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria bin Mohd Edris @ Tubau (BERSATU-Libaran) yang ingin tahu mengenai penerbangan MASWings di Sabah yang bermula dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu, kemudian dari Lahad Datu ke Sandakan, Sandakan ke Tawau dan dari Tawau balik ke Kota Kinabalu.

Hasbi berkata penyusunan jaringan RAS pula adalah berdasarkan penggunaan pesawat dan jenis pesawat mengambil kira kos operasi RAS pada kadar yang paling optimum dan keperluan penduduk setempat yang menepati definisi PSO.

“Dalam hubungan ini, MASwings menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan Kota Kinabalu – Lahad Datu – Sandakan – Tawau pergi dan balik menggunakan pesawat ATR-72 dan perkhidmatan penerbangan tersebut akan berpatah balik dari Tawau ke Kota Kinabalu melalui laluan yang sama dengan kekerapan penerbangan sebanyak dua kali sehari.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19, perkhidmatan penerbangan bagi laluan ini telah dikurangkan kepada tiga kali seminggu (Isnin, Khamis dan Sabtu) bermula 1 Ogos 2020,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak