Lambakan dabai, PKPlah pula…

SIBU: Pelaksanaan PKP di bahagian Sibu termasuk Daerah Kanowit dan Selangau menjadikan musim buah tahun ini agak suram.
Ini kerana tidak ramai warga Sibu turun ke Pasar Sentral Sibu kerana bimbang untuk bersesak-sesak.
Tinjauan semalam sempena pelaksanaan PKP hari pertama di Pasar Sentral Sibu, pusat yang menempatkan tamu serta penjual buah dabai dan durian kurang dikunjungi.
Selain mendapat kunjungan yang kurang, penjualnya juga didapati kurang datang berniaga mungkin disebabkan PKP dan pandemik Covid-19 ini.
Hanya segelintir sahaja yang datang berniaga tetapi tidak seperti tahun sebelumnya kerana pasar tamu terbesar di Malaysia ini lubuk segala raja – durian, dabai, langsat dan rambutan yang menjadi tumpuan orang ramai bahkan pengunjung dari kawasan lain yang membuatkannya riuh dengan suara tawar menawar.

“Memang benar, sekarang tiada orang,” kata penjual dabai dari Kapit, Lucy Jamin, 49, yang mendapati tahun ini perniagaan mereka terjejas.
Ini katanya berikutan dengan pandemik Covid-19 yang merencatkan segala rezeki pada tahun ini.
Beliau turut mengakui, tahun ini permulaan tahun yang buruk baginya sejak lebih 10 tahun menjual dabai di Pasar Sentral Sibu.
“Tahun ini, perniagaan dabai kurang namun kami sebagai pemborong agak susah sedikit tahun ini kerana pergerakan kami tersekat, tidak dapat pergi jauh.
“Apatah lagi musim PKP ini bukannya boleh merentas daerah.

Hendak kirim ke ke kawasan lain seperti Sarikei, Kuching, Bintulu mahupun Miri,” katanya ketika ditemui.
Lucy memberitahu, kerana PKP juga mereka dapat membeli dabai daripada pemilik pokok dabai dengan banyak.
“Dalam sehari saya beli dalam dua ke tiga bakul sahaja kerana berniaga di musim PKP hanya sampai jam 2 petang sahaja.
“Namun, kami bersyukur kerana masih berpeluang berniaga di Pasar Sentral Sibu seperti hari ini, walaupun masanya terhad.
“Tidak tahulah esok lusa macam mana, apakah Majlis Perbandaran Sibu (MPS) masih membenarkan kita berniaga lagi,” ujarnya sedikit risau mengenai perniagaannya.

Katanya, dabai jualannya datang dari Kanowit dan dibelinya daripada seorang pemilik pokok dabai dari Ulu Kanowit.
Bagi Siti Karmila, 42, dari Sibu yang turut menjual dabai di pasar tersebut turut merasakan tahun ini paling teruk baginya dalam menjalankan perniagaan dabai.
“Dahlah Covid-19 ni tak habis-habis…PKP lagi. Memang tak tentu rasa hati apabila mengenangkan perniagaan kami ini.
“Mana tahu, esok lusa kita tidak disuruh berniaga di sini mungkin MPS tidak mahu tempat ini sesak,” tegas Siti.
Pada pemerhatiannya, musim buah di Sibu tahun ini tidak mendapat sambutan dan banyak orang tidak berani turun membeli kerana harga yang sedikit mahal.

“Kami meletakkan harga yang sama bergantung kepada saiz buah.
“Tahun ini juga difahamkan tidak banyak dabai berbuah dan yang dijual ini datang dari Kanowit.
Mungkin tempat seperti Song dan Kapit masih belum berbuah lagi.
“Kalau ia serentak mengeluarkan buah seperti tahun-tahun sebelum ini harganya tidak mahal sangat,” ujar beliau.
Namun begitu, beliau tetap reda dengan rezekinya pada tahun ini yang dianggap tidak seperti tahun sebelumnya.
“Apa yang penting, dabai tetap dijual untuk warga Sibu sahaja memandangkan PKP. Janji dapat jual,” ujarnya lagi.
Bagi Brendan Siaw, 43, seorang penjual durian dari Sibu pula, melahirkan rasa kebimbangannya.
Menurutnya, setiap hujung tahun dan awal tahun ialah bulan rezeki kepada penjual buah di Sibu.
“Tahun ini kami difahamkan durian tidak serentak mengeluarkan buah.
Sebab itu, mahal. Bekalan yang saya dapat dari Kanowit.
“Hanya Kanowit sahaja yang mengeluarkan dabai kali ini.
Lain-lain tempat seperti Kapit dan Song, saya dengar belum lagi mengeluarkan buah,” jelasnya.
Dia mengakui beberapa hari ini dia melalui keadaan sukar kerana tidak ramai yang membeli.
“Covid-19 ini orang tidak banyak datang membeli buah. Mungkin pertama, harganya sedikit mahal.
Kedua orang bimbang kalau makan durian terlalu banyak boleh menyebabkan selesema yang dikaitkan Covid-19,” ujarnya berseloroh.
Walaupun sempat berjenaka, Siaw tetap tabah melalui harihari- sukar ketika musim buah mlambak di pasaran, Covid-19 dan PKP menbadai bandar ini.
“Saya doa yang terbaik sahaja agar murah rezeki berniaga di sini,” tambahnya.
Harga dabai yang dijual di Pasar Sentral Sibu dari RM30 hingga RM50 sekilogram manakala durian dijual antara RM40 hingga RM80 satu ikat (enam biji) bergantung kepada saiznya.

Suara Sarawak